Terpedaya pelaburan tak wujud, pesara guru rugi lebih RM400,000

Terpedaya pelaburan tak wujud, pesara guru rugi lebih RM400,000

Wanita berusia 69 tahun itu dipercayai terpedaya dengan skim pelaburan tak wujud menerusi WhatsApp sejak Ogos lepas.

Polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan di platform aplikasi sosial. (Gambar pixabay)
PETALING JAYA:
Seorang pesara guru rugi lebih RM400,000 apabila terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi sosial sejak Ogos tahun lepas.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata, wanita berusia 69 tahun berasal dari Taman Bercham Jaya itu membuat laporan polis semalam apabila menyedari dirinya tertipu.

Menurut Mohd Yusri, pada Ogos 2023, mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bertulisan bahasa Cina yang menawarkan skim pelaburan wang menggunakan platform “Accerx” yang sebenarnya tidak wujud.

Katanya, mangsa tertarik untuk menyertai pelaburan itu setelah suspek, yang berperanan sebagai pentadbir kumpulan, itu menunjukkan cara-caranya.

“Sejak itu, mangsa memasukkan dana sebanyak 17 kali ke dalam 12 akaun bank berbeza berjumlah RM442,947,” katanya, lapor Bernama.

“Namun apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan, suspek meminta mangsa membuat bayaran, barulah mangsa sedar beliau telah ditipu.”

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mohd Yusri mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan di platform aplikasi sosial, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.