
Penyelam yang dihantar melakukan kerja mengapit semula paip pecah itu tidak dapat berbuat demikian awal pagi tadi akibat aliran air deras yang menyukarkan mereka meletakkan bahagian bawah pengapit berat dengan betul untuk diikatkan.
“Kakitangan PBAPP sedang meneroka semua pilihan rasional untuk menyelamatkan Pelan A. Kami akan terus menghantar kemas kini,” kata syarikat bekalan air negeri itu dalam kenyataan.
Isnin lalu, PBAPP dilaporkan berkata 200,000 pengguna air di negeri itu mungkin mengalami gangguan bekalan air akibat paip pecah buat kali keempat sejak bulan lalu.
Saluran paip itu tertimbus sedalam 3.5m yang dipasang pada 1997 oleh Pihak Berkuasa Air Pulau Pinang sebelum diambil alih PBAPP.
Susulan insiden terbaru itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau sedang mempertimbangkan dua pilihan untuk memulihkan bekalan air kepada separuh pengguna di Pulau Pinang, iaitu memperbaiki paip bocor yang dijangka boleh siap antara 24 hingga 48 jam atau mempercepatkan penyiapan projek lencongan paip.
Orang ramai yang melalui Jambatan Ampang Jajar melihat air memancut dari paip pecah di dasar Sungai Perai pada Selasa lalu.
Chow berkata kebocoran kali ini berukuran 1.05m x 0.65m.