Malaysia bentang laporan situasi hak asasi manusia di Geneva

Malaysia bentang laporan situasi hak asasi manusia di Geneva

Penyertaan pada UPR kali ini mencerminkan komitmen negara yang tidak berbelah bahagi dalam memajukan agenda hak asasi manusia, kata Wisma Putra.

Delegasi Malaysia pada sesi UPR Majlis Hak Asasi Manusia, PBB di Geneva, Switzerland kali ini diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bala Chandran Tharman.
PUTRAJAYA:
Malaysia akan membentangkan Laporan Negara pada sesi Penilaian Berkala Sejagat (UPR) Keempat di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland pada 25 Jan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), penyertaan Malaysia dalam UPR kali ini – keempat selepas penilaian pada 2009, 2013 dan 2018 – mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi negara dalam usaha memajukan agenda hak asasi manusia di Malaysia.

Ia juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menjadikan hak asasi manusia keutamaan dalam agenda pembangunan negara.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bala Chandran Tharman.

UPR merupakan satu proses antara kerajaan yang diwujudkan bawah rangka kerja Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi menilai rekod hak asasi manusia bagi setiap negara anggota yang dinilai sekali setiap empat tahun setengah.

Ia memberi peluang kepada setiap negara yang dinilai untuk berkongsi maklumat tentang usaha dan langkah yang telah diambil bagi meningkatkan tahap hak asasi manusia di negara masing-masing.

UPR juga merupakan satu mekanisme kajian semula setara yang dilaksanakan atas pendekatan yang konstruktif untuk semua negara anggota PBB mengemukakan saranan dan berkongsi amalan terbaik bagi membantu usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.

Laporan Negara mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Malaysia ialah hasil usaha yang menyeluruh dan bersama dengan semua pemegang taruh, melibatkan beberapa siri perbincangan, termasuk pihak masyarakat madani dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), menurut Wisma Putra.

Laporan Negara merangkumi kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia dalam mempromosikan hak asasi manusia bagi tempoh Nov 2018 hingga Okt 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.