
Sebagai sebahagian reformasi bawah Kerangka Ekonomi Madani, kerajaan memperhalusi program subsidinya, melaksanakan reformasi gaji, memecahkan monopoli dan meningkatkan bekalan rumah mampu milik.
Bagi profesor ekonomi Monash University Malaysia, Niaz Asadullah, kenaikan kos sara hidup pada dasarnya ialah ketidakpadanan antara pendapatan dan kos.
“Pertumbuhan gaji di Malaysia terlalu sedikit, terlalu perlahan,” katanya kepada FMT Business, sambil menyatakan B40 menjadi golongan paling rentan.

Kerajaan, yang melaksanakan gaji minimum pada 2013, meningkatkan usaha baru-baru ini dengan mencadangkan dasar gaji progresif (PWP) untuk menambah pendapatan.
Niaz mengalu-alukan PWP, yang menghendaki majikan menaikkan gaji pekerja berdasarkan kemahiran, pengalaman dan prestasi, sebagai inisiatif untuk mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“PWP adalah untuk mendorong majikan menaikkan gaji secara berperingkat. Logiknya adalah tanpa campur tangan dasar, pertumbuhan gaji terlalu sedikit.
“Masalahnya, sebarang kenaikan (gaji) bergantung pada peningkatan daya produktiviti pekerja,” katanya.
PWP akan dilancarkan tahun ini bawah program yang akan menyaksikan 1,000 syarikat pertama melaksanakannya menerima pelbagai insentif kerajaan.
Memecah monopoli
Kerajaan juga berazam menghapuskan kartel yang memanipulasi pasaran untuk menaikkan harga.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali, berkata tindakan membentuk kartel untuk mengaut keuntungan adalah “sabotaj” terhadap usaha berterusan kerajaan mengurangkan kos sara hidup.
Beliau memetik kes lima syarikat didenda RM415.5 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana mengatur harga dedak ayam bulan lalu.
Katanya, kementerian melalui MyCC akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan untuk membanteras amalan kartel, terutama dalam sektor makanan, pertanian dan penipuan bidaan.
Kerajaan juga berbelanja besar untuk subsidi melalui pelbagai program perlindungan dan jaringan keselamatan sosial sebagai usaha mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup.
Bagaimanapun, subsidi pukal seperti untuk elektrik, bahan api dan makanan turut dinikmati kumpulan berpendapatan tinggi, mendorong kerajaan mereformasi program subsidinya yang menelan belanja RM81 bilion tahun lalu.
Usaha ini bertujuan memastikan lebih banyak wang disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Rasionalisasi subsidi
Pengarah Penyelidikan Bait Al Amanah, Benedict Weerasena, melihat pendekatan beransur-ansur kerajaan bawah inisiatif rasionalisasi subsidi sebagai strategi tepat.
“Ia mengurangkan kebarangkalian kenaikan harga mendadak yang boleh memburukkan lagi (krisis) kos sara hidup,” katanya.
Komponen penting rasionalisasi subsidi ialah sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2 Jan lalu.
Menurut Maybank Investment Bank, penggunaan Padu, yang mengintegrasikan data sosioekonomi daripada pelbagai kementerian, agensi persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun, boleh dioptimumkan untuk menambah baik dan menyelaraskan program kebajikan, perlindungan dan jaringan keselamatan sosial.
Ini mungkin boleh membawa kepada penghentian subsidi ke atas barangan makanan penting, sebaliknya digantikan dengan pemberian tunai tambahan atau pengimbangan kewangan, katanya dalam satu laporan.
Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan meningkatkan peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.
Berbanding tahun sebelumnya, penerima STR terhad kepada golongan miskin tegar namun tahun ini dikembangkan kepada penduduk miskin tersenarai bawah eKasih.
Kerajaan juga melanjutkan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang memanfaatkan 700,000 penerima STR, mereka akan menerima bantuan RM100 sebulan dalam tempoh setahun.
Sebelum ini, penerima bantuan itu hanya menerima bantuan dalam tempoh enam bulan.
Menjadikan perumahan lebih mampu milik
Sokongan kerajaan terhadap penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat membantu mengurangkan kos sara hidup.
Felo Pusat Pendidikan Pasaran, Consilz Tan, berkata komponen utama yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup termasuk perbelanjaan makanan, diikuti perumahan dan pengangkutan.
Beliau berkata, pelbagai program kerajaan seperti skim jaminan kredit perumahan (SJKP) dan sewa-untuk-beli (RTO), i-Miliki dan PR1MA menjadikan rumah lebih mampu dimiliki atau disewa, tetapi banyak lagi usaha perlu dilakukan.
Kerajaan menggandakan peruntukan untuk SJKP kepada RM10 bilion di bawah Belanjawan 2024, menjamin pinjaman bank kepada pemohon yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Skim RTO juga berfungsi dengan baik, jadi kita harus libatkan lebih banyak institusi kewangan dalam skim sedemikian,” kata Tan, yang juga pensyarah kanan Universiti Xiamen Malaysia.