Guru Kafa ditahan pukul ibu angkat kerana minta duit belanja

Guru Kafa ditahan pukul ibu angkat kerana minta duit belanja

Lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai memukul ibu angkatnya berusia 76 tahun minggu lepas.

Seorang guru Kafa berusia 28 tahun itu ditahan semalam selepas hadir memberi keterangan di IPD Ampang Jaya kerana dipercayai mencederakan ibu angkatnya.
PETALING JAYA:
Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) ditahan semalam kerana disyaki memukul ibu angkatnya sehingga cedera minggu lepas.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada 12.30 tengah hari semalam selepas hadir memberi keterangan di IPD Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 12 tengah hari di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Sering Ukay Indah.

Suspek dipercayai memukul ibu angkatnya berusia 76 tahun, yang memeliharanya sejak lahir, kerana berang wanita itu sering meminta duit belanja dapur.

“Pemeriksaan pegawai perubatan di Hospital Ampang mendapati wanita berkenaan mengalami kecederaan pada tisu lembut di kepala dan abdomen,” kata Mohd Azam, lapor Bernama.

Mohd Azam berkata, lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau dan telah direman selama empat hari hingga Ahad ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azam berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun pada Selasa lepas kerana menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan cuba menunaikan cek sebuah masjid.

Dalam kejadian pada 2 petang Jumaat lepas, katanya, lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM dan mengarahkan bendahari sebuah masjid di Ampang Jaya mengeluarkan buku cek bagi semakan kerana mendakwa terdapat masalah dalam pengurusan kewangan masjid itu.

Lelaki itu kemudian beredar setelah melakukan semakan, namun kemudian, bendahari masjid itu menerima panggilan daripada bank berhubung sekeping cek yang cuba ditunaikan.

“Pada 3 petang, bendahari itu menerima panggilan daripada bank mengatakan terdapat sekeping cek bernilai RM30,000 cuba ditunaikan namun telah ditolak.

“Bendahari itu kemudian mendapati sekeping cek telah hilang selepas diperiksa suspek,” katanya.

Mohd Azam berkata, lelaki yang tidak bekerja itu kemudian ditahan pada 1.35 tengah hari ketika hadir di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya.

Dia direman selama empat hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, iaitu menyamar sebagai penjawat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.