CEO PNB dijangka terajui KWSP

CEO PNB dijangka terajui KWSP

Menurut sumber, pelantikan Ahmad Zulqarnain Onn dijangka diumumkan pada akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Ahmad Zulqarnain Onn sebelum ini pernah berkhidmat sebagai timbalan pengarah urusan di Khazanah Nasional Bhd. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Ahmad Zulqarnain Onn, ketua pegawai eksekutif kumpulan pengurus aset terbesar negara Permodalan Nasional Bhd (PNB), dijangka dinamakan sebagai ketua dana pencen terbesar negara, menurut sumber.

Pelantikan itu akan mengisi kekosongan jawatan itu setelah Perdana Menteri Anwar Ibrahim menamakan Amir Hamzah Azizan, CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini sebagai menteri kewangan kedua dalam rombakan Jemaah Menteri bulan lepas.

Pelantikan Zulqarnain dijangka diumumkan pada akhir Januari, menurut dua sumber.

Dalam respons kepada pertanyaan Reuters menerusi e-mel, jurucakap KWSP berkata, pihaknya “tidak dapat memberikan sebarang komen mengenai perubahan kepimpinan buat masa ini”.

Pejabat Perdana Menteri dan PNB tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen, manakala sumber-sumber yang bercakap mengenai perkara ini enggan nama mereka disiarkan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

Pelantikan itu dibuat pada kala KWSP, dana pencen ke-12 terbesar dunia, berusaha membina semula rizabnya berikutan rekod pengeluaran dana pencarum semasa wabak Covid-19.

Pasaran juga akan memerhati dengan teliti peranan Zulqarnain dalam meningkatkan pelaburan domestik berikutan gesaan Anwar kepada institusi berkaitan kerajaan untuk menyokong ekonomi negara.

Antara 2020 dan 2022, rakyat Malaysia mengeluarkan kira-kira RM145 bilion dalam simpanan persaraan mereka dengan KWSP, yang membawa kepada kebimbangan mengenai tekanan terhadap pembiayaan penjagaan kesihatan dalam jangka panjang.

Zulqarnain, graduan Universiti Harvard, dilantik pada Julai 2020 untuk mengetuai PNB, yang menguruskan RM343.1 bilion aset pada 30 Nov 2022, menurut laman webnya.

Bawah kepimpinannya, PNB menerajui penubuhan kumpulan automotif terbesar Malaysia untuk menyokong dorongan negara ke arah penggunaan kenderaan elektrik, serta berusaha menambah aset prasarana kepada portfolionya sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian, antara lainnya.

Sebelum menyertai PNB, Zulqarnain pernah menjadi timbalan pengarah urusan di Khazanah Nasional Bhd.

Ditubuhkan pada 1951, KWSP mempunyai 15.72 juta ahli dan aset berjumlah kira-kira RM1 trilion, menurut laporan tahunannya pada 2022.

Pelaburan KWSP dalam pasaran ekuiti awam Malaysia termasuk bank terbesar negara, Malayan Banking Bhd, dan syarikat utiliti Tenaga Nasional Bhd.

KWSP turut melabur dalam pasaran swasta, termasuk hartanah dan ekuiti persendirian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.