Wanita Myanmar cedera terjun tingkat dua elak ditahan imigresen

Wanita Myanmar cedera terjun tingkat dua elak ditahan imigresen

Kejadian berlaku ketika Jabatan Imigresen membuat pemeriksaan di sebuah bangunan kediaman di Seremban.

Kennith Tan Ai Kiang berkata wanita itu sebahagian daripada 110 warga asing ditahan kerana tinggal lebih masa dan tiada pas perjalanan yang sah. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Seorang wanita warga asing sanggup terjun dari tingkat dua sebuah bangunan kediaman bagi mengelak dicekup anggota penguat kuasa dalam operasi Jabatan Imigresen, Negeri Sembilan di sekitar rumah kedai di Seremban 2 tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri Kennith Tan Ai Kiang berkata wanita berusia 35 tahun dari Myanmar itu cedera di bahagian kepala dan difahamkan dia berada dalam keadaan mabuk sebelum bertindak sedemikian akibat cemas apabila menyedari serbuan penguat kuasa.

Beliau berkata wanita itu merupakan sebahagian daripada 110 pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi itu kerana melakukan kesalahan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan, masuk tanpa pas yang sah di bawah Seksyen 6(1) (c) akta sama.

“Semasa operasi dijalankan terdapat segelintir warga asing di lokasi tersebut melarikan diri dengan memanjat ke bumbung bangunan tiga tingkat tersebut serta menyorok di dalam siling rumah.

“Mereka ini akan di bawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk saringan dan siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, sebuah rumah dalam bangunan itu dihuni tujuh hingga lapan warga asing dan setiap unit dibuat sesekat di setiap bilik.

Antara kesalahan dikenal pasti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan…mereka ini bekerja dalam pelbagai sektor di sekitar sini.

Tan berkata seramai 314 anggota digerakkan dalam operasi itu dan telah memeriksa 628 warga asing di lokasi berkenaan.

Katanya, warga asing yang diperiksa terdiri daripada 210 lelaki Bangladesh; 42 lelaki, 13 wanita, seorang kanak-kanak perempuan (Indonesia); 79 lelaki, 26 wanita, empat kanak-kanak perempuan (Myanmar); 206 lelaki Nepal; 26 lelaki India; 13 lelaki Pakistan dan lapan lelaki Sri Lanka.

“Hasil siasatan dan risikan hampir dua minggu mendapati pemilik rumah memberi sewa kepada warga asing ini dengan kadar RM600-RM800 sebulan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.