Wajar larang semua kedai jual arak di laluan perarakan Thaipusam, kata NGO

Wajar larang semua kedai jual arak di laluan perarakan Thaipusam, kata NGO

NGO di Pulau Pinang berkata mereka pernah terima aduan tentang orang mabuk mengganggu peserta perarakan.

Larangan jual arak dikenakan ke atas lima kedai selama tiga hari sempena sambutan Thaipusam. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sewajarnya mengenakan larangan jual alkohol selama tiga hari ke atas semua kedai arak di sepanjang laluan pedati membawa arca Dewa Murugan sempena Thaipusam, kata dua NGO.

Gesaan itu menyusuli kenyataan Datuk Bandar Rajendran Anthony bahawa larangan tiga hari itu hanya melibatkan lima premis sekitar Kuil Arulmigu Shree Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga, dan bukan semua 56 kedai di sepanjang laluan pedati.

Larangan ke atas 51 kedai lain itu ditarik balik berkuatkuasa serta merta, katanya.

NV Subbarow, seorang pegawai pendidikan di Persatuan Pengguna Pulau Pinang, berkata larangan itu sewajarnya dikenakan ke atas semua kedai di sepanjang laluan perarakan.

Katanya, di kawasan Little India di George Town sahaja terdapat kira-kira 15 kedai yang menjual arak, dan sebelum ini CAP terima aduan tentang orang mabuk menari-nari di tempat-tempat tertentu yang dilalui perarakan.

“Oleh itu, perlu ada larangan ‘total’,” katanya kepada FMT.

Subbarow bimbang mengehadkan larangan kepada hanya lima kedai berdekatan kuil tidak akan memenuhi tujuan MBPP, kerana alkohol boleh dibeli dari kedai lain yang tidak dikenakan larangan.

Beliau berkata larangan jual arak harus dikenakan di Little India juga, kerana perarakan pedati akan mengunjungi sebuah kuil di situ.

Subbarow juga mencadangkan larangan dikenakan ke atas hotel-hotel di sepanjang laluan perarakan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang, P Murugiah Mohan, senada dengan Subbarow dan berkata sebelum ini pernah berlaku pertengkaran antara pemuda-pemuda mabuk dengan peserta perarakan yang tersentuh mereka.

Katanya, pemuda-pemuda mabuk itu menghambur kata-kata kesat terhadap peserta perarakan.

“Mereka juga ganggu perempuan-perempuan dan keluarga yang berarak,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.