
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, berkata walaupun isu bayaran pencen penjawat awam yang meningkatkan tanggungan fiskal negara berlarutan sekian lama, kebajikan golongan itu tidak boleh diabaikan.
“Ia perlu mengambil kira keperluan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat secara cekap, meluas dan berkesan di seluruh negara.
“Ini kerana sebahagian besar daripada 1.6 juta kakitangan awam pada masa ini mengisi sektor-sektor penting dan kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan,” katanya di Facebook.
Bekas perdana menteri berkata, sebarang dasar baharu mengenai pelantikan pegawai awam hendaklah dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan sektor perkhidmatan awam.
“Bayangkan sekiranya kita kekurangan doktor, jururawat, polis, tentera, guru, penguat kuasa, kakitangan pertahanan awam dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan, setiap keputusan dan langkah diputuskan di Putrajaya belum tentu dapat dilaksanakan dengan menyeluruh dan berkesan di seluruh negara.
“Penjawat awam adalah tunjang keupayaan negara yang terbukti penting ketika negara menghadapi krisis. Kerana itulah Malaysia menjadi antara negara paling awal dapat keluar daripada wabak Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada usaha menambah hasil dengan menggalakkan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi bagi mengatasi masalah beban fiskal negara.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata pelantikan kontrak penjawat awam hanya untuk tempoh singkat sebelum Jemaah Menteri meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen.
Katanya, langkah itu bagi mengurangkan beban ditanggung kerajaan untuk pembayaran pencen di mana sebanyak RM120 bilion perlu ditanggung kerajaan pada 2040 jika tiada sistem baharu ini.
Semalam, media melaporkan kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam.