Sokongan Tanjong Karang bukti kerajaan stabil, kata Fahmi

Sokongan Tanjong Karang bukti kerajaan stabil, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata sokongan yang semakin bertambah menunjukkan kerajaan berada di landasan betul.

Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi berkata beliau menyatakan sokongan terhadap kerajaan untuk memastikan nasib penduduk di kawasannya terbela. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keputusan seorang lagi wakil rakyat Bersatu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuktikan kerajaan semasa mendapat kepercayaan, stabil dan berada di landasan betul, kata Fahmi Fadzil.

Menteri komunikasi yang menyambut baik keputusan Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi, turut menolak dakwaan kerajaan semasa akan tumbang seperti dinyatakan sesetengah pihak.

“Apa yang disebut (Ahli Parlimen) Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal) mungkin ada kebenarannya, kita tunggu, (sebelum ini) beliau sebut tujuh hingga lapan orang, hari ini baru seorang.

“Saya terima baik pengumuman tersebut tapi yang penting kita perlu buktikan kepada rakyat, kerajaan mampu selesai masalah rakyat.

“Kita tak berhasrat untuk menarik sokongan, tapi kalau sokongan datang, bukti kerajaan berada pada landasan betul,” kata jurucakap kerajaan pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang disiarkan dalam talian.

Terdahulu, Zulkafperi berkata, keputusannya yang berkuat kuasa serta-merta dibuat untuk memastikan nasib penduduk di kawasannya terbela serta mendapat pelbagai manfaat pembangunan.

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Bersatu lain menyatakan sokongan kepada Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan presiden PKR.

Mereka terdiri Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.