Perjalanan tanpa pasport boleh kurang 50% kesesakan Johor-Singapura, kata pakar

Perjalanan tanpa pasport boleh kurang 50% kesesakan Johor-Singapura, kata pakar

Rosli Khan berkata, pengguna jalan raya terperangkap di pusat pemeriksaan selama sejam atau lebih dengan sistem sedia ada.

Kesesakan di pusat pemeriksaan darat Malaysia dan Singapura boleh dikurangkan dengan pengenalan perjalanan bebas pasport, kata pakar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar pengangkutan menyambut baik cadangan perjalanan tanpa pasport antara Malaysia dan Singapura kerana mampu mengurangkan separuh daripada kesesakan di pusat pemeriksaan Tambak Johor dan Laluan Kedua.

Rosli Khan berkata, kelewatan merupakan masalah lazim di dua pusat pemeriksaan itu, di mana pengguna jalan raya sering dilaporkan tersangkut selama sejam atau lebih.

“Dengan adanya sistem bebas pasport, kelewatan atau masa menunggu boleh dikurangkan sehingga separuh.

“Pengalaman saya menggunakan mesin pasport automatik di lapangan terbang, di Singapura dan Kuala Lumpur, biasanya mengambil kira-kira lima hingga 10 minit, termasuk masa yang dihabiskan untuk beratur,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, inisiatif itu patut diperkenalkan secepat mungkin kerana masalah kesesakan di Tambak Johor berlarutan selama bertahun-tahun tanpa penyelesaian.

Pada 11 Jan lalu, Malaysia dan Singapura mengumumkan sedang mengkaji pelaksanaan perjalanan tanpa pasport di pusat pemeriksaan darat menggunakan sistem kod QR.

Ia sistem digital direka untuk menggantikan pasport berasaskan kertas tradisional dengan kod QR, sekali gus boleh mempercepatkan proses pelepasan di pusat pemeriksaan.

Kementerian Ekonomi Malaysia serta Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura dalam kenyataan bersama berkata, perjalanan tanpa pasport antara inisiatif bagi menyokong pembangunan zon ekonomi khas (SEZ) Johor-Singapura.

Presiden pengasas Persatuan PKS Johor Selatan, Teh Kee Sin berkata, pengurangan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua boleh menarik lebih ramai pelancong Singapura ke Malaysia.

“Sukar memberikan angka ketika ini kerana kemasukan bergantung kepada kesediaan infrastruktur keseluruhan dan perkhidmatan pengguna, tetapi dengan kelancaran aliran trafik di Tambak Johor dan Laluan Kedua, kita mungkin boleh melihat peningkatan 20-30% pelawat Singapura.”

Katanya, perniagaan optimis dengan inisiatif itu dan membuat perancangan untuk memanfaatkan pertumbuhan akan datang.

“PKS secara amnya sangat bijak dan saya yakin mereka akan bertindak balas sewajarnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.