PAS ingatkan keterbukaan bukan lesen abai teras negara

PAS ingatkan keterbukaan bukan lesen abai teras negara

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata dengan kesedaran holistik, jujur dan membumi, banyak konflik serta ketegangan boleh dielakkan.

Takiyuddin Hassan berkata parokialisme, ekstremisme atau pendekatan berlebih-lebihan adalah kecacatan dan perlu dilunakkan dengan kesederhanaan, akal waras serta sikap budiman.
PETALING JAYA:
PAS mengingatkan semua pihak bahawa keterbukaan, kesederhanaan dan bertolak ansur bukan lesen mengabaikan, meremehkan apatah lagi mencabar teras negara.

Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata dengan kesedaran holistik, jujur dan membumi, banyak konflik serta ketegangan boleh dielakkan.

“Parokialisme, ekstremisme atau pendekatan berlebih-lebihan adalah kecacatan dan perlu dilunakkan dengan kesederhanaan, akal waras serta sikap budiman, bukannya dengan suara lebih kuat atau postur lebih mengancam,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Thaipusam esok.

Beliau berkata Thaipusam satu lagi manifestasi kepelbagaian yang menambah nilai kepada mutu pengamalan dan kesedaran rakyat dalam perkara berkaitan keterbukaan sikap, kesederhanaan, bertolak ansur dan saling menerima serta menghormati.

Tanpa prasangka untuk menghakimi, katanya, pengalaman merupakan kelebihan berguna untuk rakyat Malaysia, khasnya untuk berdepan realiti kepelbagaian dunia berbanding negara lebih “monoculture” sifatnya.

“Namun tidak dinafikan akan terus kedengaran sudut pandangan parokial dan negatif mengenai kelompok tertentu, sama ada berkait kepercayaan, budaya, kecenderungan politik ataupun isu-isu kenegaraan seperti kesetiaan dan sebagainya.”

Justeru, PAS percaya perkara itu akan kekal sebagai pandangan pinggiran bersifat sementara, jika semua pihak terus bersikap sederhana dan tidak membesar-besarkan atau terheret dalam perang emosi serta polemik tidak berfaedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.