
Dalam kenyataan, bank pusat itu berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek pertumbuhan dan inflasi.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya.
Menurut BNM, inflasi keseluruhan dan inflasi teras tahun lepas berada pada kadar yang dijangkakan, masing-masing berpurata 2.5% dan 3.0%, manakala inflasi tahun ini kekal sederhana,
“Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
“Yang penting, hasrat kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan,” katanya.
Selain itu, katanya, anggaran awal KDNK bagi suku keempat mengesahkan bahawa pertumbuhan keseluruhan pada tahun lepas berkembang mengikut jangkaan.
Pertumbuhan dijangka meningkat pada tahun ini, disokong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, tambahnya.
“Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat.
“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di
bawah beberapa pelan induk nasional.”
Kali terakhir BNM menaikkan OPR adalah pada Mei tahun lepas, daripada 2.75% kepada 3%, memetik masa yang tepat untuk “mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar”.