MBPP larang jual alkohol ketika Thaipusam

MBPP larang jual alkohol ketika Thaipusam

Pemilik bar terkejut dan keliru kerana bukan semua pengusaha menerima notis itu.

Perarakan Thaipusam melalui Lebuh Chulia, seperti diamalkan lebih seabad lalu. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Premis di Lebuh Chulia di sini terkejut semalam selepas pihak berkuasa tempatan mengarahkan mereka berhenti menjual alkohol selama tiga hari bagi menghormati perayaan Thaipusam.

Jalan itu popular kerana terdapat banyak restoran dan bar. Perarakan Thaipusam akan melalui jalan itu, seperti diamalkan lebih seabad lalu.

“Saya tak faham. Kakitangan saya bawa surat daripada majlis bandaraya dan kami terkejut. Ini tak pernah berlaku,” kata seorang pemilik bar enggan dinamakan.

Seorang lagi pemilik bar di Lebuh Chulia pula tidak menerima notis itu, tetapi tertanya-tanya jika beliau juga patut berhenti menjual alkohol.

Pengusaha sebuah bar lain berkata, beliau tiada pilihan kecuali menutup premisnya selama tiga hari dan banyak tempahan terpaksa dibatalkan.

“Mereka datang pada 3.30 petang semalam (Selasa) dan beri kami surat ini. Saya harap mereka beri kami notis sebulan kerana perniagaan ini mahal untuk dikendalikan.”

Terdapat 20 premis menjual minuman beralkohol di Lebuh Chulia.

“Timbul banyak kekeliruan di sini,” kata pengusaha bar itu.

Semakan FMT mendapati sekurang-kurangnya lima restoran dan sebuah kedai serbaneka menerima surat itu.

Surat bertarikh 22 Jan yang dihantar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kepada bar di jalan sama menyatakan larangan sementara itu bagi membolehkan perayaan Thaipusam disambut secara “terkawal dan aman”.

Seorang pegawai pelesenan MBPP dalam surat itu menulis, keputusan mengharamkan penjualan alkohol itu dibuat atas arahan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang pada 4 Dis lalu.

MBPP berkata, semua premis di Lebuh Queen, Lebuh Chulia, Gat Lebuh Chulia, Lebuh Victoria, Gat Jalan Prangin, Jalan Magazine, Jalan Dato Keramat, Jalan Utama dan Jalan Air Terjun akan menghentikan penjualan minuman beralkohol mulai hari ini hingga Jumaat ini.

“Kegagalan mematuhi notis ini boleh menyebabkan pembatalan lesen perniagaan anda tanpa sebarang notis lanjut,” menurut surat itu.

Ahad lalu, Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, RSN Rayer dilaporkan merayu orang ramai tidak mencemarkan perayaan keagamaan dengan minum arak atau menyalakan mercun.

FMT sudah menghubungi Datuk Bandar dan Jawatankuasa Pelesenan MBPP untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.