Mahkamah Rayuan tolak permohonan NGO cabar nyahwarta Bukit Cherakah

Mahkamah Rayuan tolak permohonan NGO cabar nyahwarta Bukit Cherakah

Mahkamah berkata permohonan sepatutnya difailkan pada 2000, tiga bulan selepas keputusan itu dibuat.

Mahkamah Rayuan menolak permohonan Peka dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam untuk mencabar keputusan nyahwarta Hutan Simpan Bukit Cherakah di Shah Alam.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak rayuan dua NGO untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha untuk mencabar nyahwarta Bukit Cherakah sebagai hutan simpan.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Azizah Nawawi berkata permohonan yang difailkan itu sudah terlewat.

Katanya, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) sepatutnya memfailkan permohonan itu pada 2000, dalam tempoh tiga bulan selepas keputusan nyahwarta hutan simpan itu dibuat.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel rayuan itu adalah Hakim Azimah Omar dan Wong Kian Kheong.

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

NGO itu merayu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kebenaran bagi mencabar keputusan kerajaan Selangor nyahwarta Hutan Simpan Bukit Cherakah berkeluasan 406.22 hektar.

Kumpulan itu mendakwa keputusan untuk nyahwarta kawasan itu dibuat 22 tahun lepas dan oleh itu, sudah “lapuk”.

Pewartaan itu dikeluarkan pada 5 Mei 22, kira-kira 22 tahun selepas keputusan itu dibuat pada 2000.

NGO itu diwakili peguam Rajesh Nagarajan manakala Pembantu Penasihat Undang-Undang Negeri Khairul Nizam Abu Bakar bagi pihak kerajaan Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.