Kemuka butiran palsu RM20,000 bekal TV, pemilik syarikat ditahan

Kemuka butiran palsu RM20,000 bekal TV, pemilik syarikat ditahan

Suspek lelaki berusia 30-an dikatakan mendapatkan wang itu untuk membekalkan enam televisyen sedangkan hanya empat unit dibekalkan.

Timbalan Pengarah SPRM Pulau Pinang Mohd Shukor Mahmud mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA:
Seorang pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menggunakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk memperdaya dan mendapatkan wang kira-kira RM20,000 bagi pembekalan televisyen.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 30-an dikatakan mendapatkan wang itu untuk membekalkan enam televisyen 65 inci sedangkan hanya empat unit dibekalkan.

Katanya, suspek dipercayai ditahan kira-kira 4.30 petang tadi di pejabat SPRM Pulau Pinang ketika diminta hadir memberi keterangan.

“Suspek dipercayai melakukan kesalahan itu pada 2023. Suspek mengemukakan sebut harga dan pembekalan yang mengandungi butir matan palsu kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) salah sebuah sekolah kebangsaan di Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Jumlah pembekalan yang tidak dilaksanakan iaitu sebanyak dua unit televisyen adalah sekitar RM5,600,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Shukor Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan ditahan bagi tujuan rakaman pernyataan serta pengumpulan keterangan dan akan dilepaskan dengan jaminan SPRM dalam tempoh 24 jam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.