Jangan lepas pihak terbabit perjanjian ‘mentah’ Goldman Sachs, kata Santiago

Jangan lepas pihak terbabit perjanjian ‘mentah’ Goldman Sachs, kata Santiago

Bekas Ahli Parlimen itu berkata perunding dan peguam yang mewakili kerajaan dalam rundingan itu perlu dikenakan tindakan atas keputusan mereka.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata Malaysia mempunyai kes yang kukuh terhadap Goldman Sach tetapi ‘melepaskan mereka dengan mudah’.
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak yang mewakili negara dalam penyelesaian dengan Goldman Sachs sekiranya mereka didapati bertindak bertentangan dengan kepentingan terbaik negara.

Charles Santiago yang sebelum ini menganggap penyelesaian dengan Goldman Sachs sebagai “perjanjian mentah” berkata sesiapa yang terbabit dengan perjanjian itu perlu bertanggungjawab dengan tindakan mereka.

Bekas Ahli Parlimen Klang itu mengulas laporan pasukan petugas 1MDB menyiasat sama ada perunding dan peguam yang mewakili Putrajaya dalam perjanjian penyelesaian itu melanggar kewajipan fidusiari atau cuai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Semalam, pengerusinya Johari Ghani berkata terdapat kebimbangan bahawa mereka yang mewakili kerajaan Malaysia pada masa itu gagal mendapatkan “penyelesaian yang adil dan sewajarnya” daripada Goldman Sachs.

Johari berkata 1MDB membayar yuran khidmat nasihat yang “luar biasa” sebanyak USD606 juta kepada Goldman Sachs bagi nasihat membabitkan terbitan tiga bon berjumlah USD6.5 bilion.

“Malaysia rugi dalam perjanjian penyelesaian ini. Tiada siapa boleh nafikan ini. Saya cabar sesiapa yang percaya perjanjian itu adil tampil dan menyatakannya,” kata Santiago kepada FMT.

“Kita mempunyai kes yang kukuh (terhadap Goldman Sachs) dan kita biar mereka terlepas dengan mudah. Siapa akan membayar akibatnya? Rakyatlah,” katanya yang merujuk keputusan kerajaan menggugurkan kes jenayah terhadap firma itu berhubung peranannya dalam skandal 1MDB.

Sebagai sebahagian perjanjian dengan Malaysia pada 2020, Goldman Sachs membuat bayaran awal USD2.5 bilion pada September tahun yang sama.

Bank itu juga perlu membuat bayaran sementara USD250 juta sekiranya Malaysia tidak menerima sekurangnya USD500 juta aset dan diteruskan hingga Ogos 2022.

Pada Oktober tahun lalu, bank itu mengheret Putrajaya ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London susulan pertikaian mengenai terma penyelesaian USD500 juta itu. Prosiding itu masih berjalan.

Santiago juga berkata beliau bersetuju dengan rancangan pasukan petugas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bank asing yang memudahkan pemindahan dana berkaitan 1MDB tanpa laksana proses pengesahan kenali pelanggan anda dengan sewajarnya pada masa itu.

“Sesiapa yang terbabit dengan skandal 1MDB mesti berdepan dengan tindakan,” katanya.

“Rakyat dan ekonomi negara membayar harga yang mahal akibat bencana 1MDB ini. Sangat menyedihkan apabila mengetahui orang yang diamanahkan untuk melindungi kepentingan negara bertindak cuai.”

Sebelum ini dilaporkan terdapat tujuh atau lapan bank antarabangsa terbabit dengan perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.