
Membuat gesaan itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata), Mohd Khalid Harun, berkata sistem digunakan kini tidak lagi sesuai kerana ramai pencarum terpaksa menunggu giliran berpuluh tahun, walaupun simpanan mereka sudah mencukupi.
Beliau mendakwa, kuota haji dikawal TH menyebabkan tawaran menunaikan ibadat itu tidak telus menyebabkan ada individu berpeluang menunaikannnya sehingga tiga kali.
“Bermula sekarang saya cadangkan tak perlu lagi ikut jadual penggiliran… kerana ada yang mampu (kewangan) pergi tapi giliran tahun 2050, 2070,” katanya kepada FMT sambil menyifatkan kaedah kini sebagai ketinggalan.
Menurut Khalid, pendekatan kuota terbuka dilaksanakan di banyak negara antaranya Indonesia malah tiada pemilihan mengikut kategori pendapatan seperti di Malaysia yang mana golongan B40 dan M40 menikmati bantuan subsidi.
“Buka sahaja (kuota haji) kepada lebih banyak agensi pelancongan, mengapa hendak biarkan hanya TH urus…bagi kuota supaya orang berkemampuan boleh ambil pakej dengan kita.
“Orang luar hendak mengerjakan haji tiada pun TH,” katanya.
Bahang musim haji yang dilaksanakan pada bulan Zulhijah mengikut kalendar Islam itu mula terasa, dengan ribuan pendeposit TH mula menerima surat jemputan menunaikan Rukun Islam kelima.
Institusi Islam itu menerima kuota haji dari Arab Saudi sebanyak 31,600 tahun ini, sama seperti tahun sebelumnya namun ada dakwaan di media sosial ia hanya menguruskan sekitar 11,000 jemaah muassasah, sementara selebihnya diberikan kepada agensi pelancongan dipilih TH.
Menerusi perkongsian seorang pendeposit TH di Facebook, Ana Balqis, beliau sudah membuat rayuan dua tahun berturut-turut kepada TH untuk mengerjakan haji, namun masih tiada jawapan.
Beliau turut meluahkan kekecewaannya terhadap sistem penggiliran yang menurutnya terlalu lama, sehingga menyebabkan ada jemaah mencari agensi pelancongan untuk ke Tanah Suci.
“Jemaah yang sudah mampu tetapi giliran menunggu masih 80 tahun, mereka sanggup bayar kepada agensi pelancongan berpuluh ribu tetapi sampai tertipu. Kenapa? Sebab tunggu giliran dengan TH berpuluh tahun,” luahnya.
Minggu lalu, TH mengumumkan kos menunaikan haji tahun ini meningkat 8% kepada RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu, dengan golongan B40 pertama kali menunaikan ibadat itu hanya perlu membayar RM12,356, M40 sebanyak RM19,152, manakala T20 membayar kos penuh RM33,300 seorang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar pula dilaporkan berkata kerajaan akan menanggung kos sebanyak RM9.4 juta menerusi pemberian subsidi sebanyak RM1,000 bagi setiap jemaah B40.