
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Rajendran Anthony berkata, notis larangan itu disampaikan kepada 56 premis menjual minuman keras.
Sebaliknya, katanya, notis itu sepatutnya disampaikan hanya kepada lima premis di sekitar kawasan kuil Waterfall
“Pegawai kami kini pergi ke setiap kedai (51 cawangan yang tidak terlibat) untuk tarik balik notis larangan itu,” katanya kepada pemberita di Komtar.
Awal hari ini, FMT melaporkan bahawa MBPP telah mengeluarkan notis larangan penjualan minuman keras, atas desakan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), bagi membolehkan perayaan Thaipusam disambut secara “terkawal dan aman”.
Kegagalan mematuhi larangan yang sepatutnya berkuat kuasa mulai hari ini hingga 26 Jan itu boleh menyebabkan pembatalan lesen perniagaan, menurut notis itu.
Exco kerajaan tempatan Pulau Pinang Hng Mooi Lye berkata, larangan penjualan minuman keras di sepanjang laluan perarakan itu dibuat tanpa rundingan dengan exco negeri.
“Ini dilakukan tanpa pengetahuan kami. Saya rasa ia tidak berasas. Semua larangan jualan oleh majlis pada masa akan datang mesti mendapat kelulusan exco negeri terlebih dahulu,” katanya pada sidang media yang sama.
Apabila ditanya sama ada larangan lebih meluas sebelum ini dilaksanakan bagi pihak PHEB, Hng berkata, berlaku “salah faham ketika mesyuarat”.
“Larangan yang dikenakan terhadap lima premis itu sudah wujud bertahun-tahun, atas nasihat polis, tetapi hanya ketika Thaipusam.
“Selain daripada itu, kami ingin jelaskan bahawa semua (premis) bebas menjalankan perniagaan pada bila-bila masa,” katanya.
Secara berasingan, Pengerusi PHEB RSN Rayer berkata, lembaga itu tidak pernah meminta minuman keras dilarang dijual sepanjang perarakan, hanya larangan di jalan utama ke kuil Waterfall.