Biar mahkamah tentukan, kata menteri berkait ‘Man on the Run’

Biar mahkamah tentukan, kata menteri berkait ‘Man on the Run’

Jurucakap kerajaan berkata perkara itu sudah dizahirkan dalam mahkamah dan kerajaan tidak boleh mendahuluinya.

Baru-baru ini peguam Najib Razak memohon kerajaan mengarahkan Netflix menurunkan dan melarang tayangan ‘Man on the Run’. (Gambar Netflix)
PETALING JAYA:
Kerajaan menyerahkan kepada mahkamah berhubung permohonan bekas perdana menteri Najib Razak supaya Netflix menurunkan serta melarang tayangan dokumentari “Man on the Run”.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap kerajaan berkata, perkara itu berdasarkan nasihat Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh, bahagian undang-undang kementerian, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Secara faktanya filem tersebut ditayangkan di pawagam pada Oktober tahun lalu dan pada waktu itu Lembaga Penapisan Filem (LPF) beri kelulusan dan tak berlaku isu sewaktu ditayangkan di khalayak umum pada Oktober tahun lalu.

“Memandangkan ini perkara yang telah dizahirkan dalam mahkamah maka kita perlu rujuk sebarang perkara kepada mahkamah, kita tak boleh dahului proses dan serah pada mahkamah,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri disiarkan secara dalam talian.

Baru-baru ini, peguam Najib memohon kerajaan mengarahkan perkhidmatan penstriman itu menurunkan serta melarang tayangan dokumentari berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetuan Shafee & Co mendakwa dokumentari itu, yang ditulis serta diarahkan oleh Cassius Michael Kim, bersifat subjudis dan memudaratkan pembelaan Najib dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan keanggotaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan akan diumumkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, penubuhan RCI itu perlu disembah maklum terlebih dahulu kepada Agong dan setelah mendapat perkenan, barulah keanggotaan, komposisi, terma dan rujukan yang dibuat boleh diumumkan.

“Berdasarkan perbincangan Jemaah Menteri, penubuhan RCI ini adalah satu perkara yang mustahak kerana ia membabitkan isu sempadan dan menyentuh kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kerajaan memutuskan untuk menyelaraskan sistem pendidikan prasekolah bawah Kementerian Pendidikan bagi memastikan mutu pendidikan awal kanak-kanak lebih terjamin dan menyeluruh.

“Kita lihat ada pendidikan pra sekolah yang agak pelbagai, malah ada kadangkala kami terima aduan daripada ibu bapa mengenai kualiti pendidikan berbeza,” katanya.

“Kita (kerajaan) ingin pastikan pendidikan prasekolah yang disediakan kepada rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah adalah yang berkualiti dan kurikulumnya diselaraskan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.