
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa 61 tahun dari Taman Rasi Jaya, Ipoh membuat laporan semalam selepas menyedari diperdaya.
Katanya kejadian bermula 14 Okt 2023 apabila mangsa melayari laman pelaburan di Facebook dan menekan pautan nombor aplikasi WhatsApp suspek.
Beliau berkata suspek kemudian memasukkan nombor mangsa dalam beberapa kumpulan WhatsApp bagi tujuan pelaburan emas.
“Sejak itu, mangsa memasukkan dana sebanyak 32 kali ke 11 akaun bank berbeza berjumlah RM6.22 juta.
“Apabila ingin mengeluarkan wang pelaburan RM2.2 juta semalam, suspek tidak membalas serta platform pelaburan tidak dapat diakses,” katanya menurut Sinar Harian.
Yusri berkata ketika itu baru mangsa sedar ditipu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan di platform media sosial, khasnya skim dipromosikan melalui Facebook tanpa kelulusan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.
Orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) 997, jika menjadi mangsa penipuan dan baru membuat transaksi ke akaun keldai.
Bagi pertanyaan mengenai jenayah penipuan boleh hubungi 013-2111222 menerusi aplikasi WhatsApp, manakala akaun bank dan nombor telefon mungkin terbabit kes penipuan boleh disemak di https://semakmule.rmp.gov.my.