Konsesi ERL dilanjut 30 tahun

Konsesi ERL dilanjut 30 tahun

Perjanjian konsesi tambahan baharu itu akan membolehkan ERL, yang mengendalikan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, melaksanakan struktur tambang ‘dipacu pasaran’.

ERL mengendalikan perkhidmatan rel KLIA Transit dan KLIA Ekspres dari KL Sentral ke KLIA. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Perjanjian konsesi Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) untuk perkhidmatan tren ke KLIA dilanjutkan 30 tahun lagi sehingga 2059.

Perjanjian konsesi tambahan baharu itu juga akan membolehkan ERL, yang mengendalikan perkhidmatan KLIA Transit dan KLIA Ekspres dari KL Sentral ke KLIA, melaksanakan struktur tambang “dipacu pasaran”.

“Tambang dipacu pasaran akan membebaskan kerajaan daripada kewajipan kewangan untuk membayar pampasan kepada ERL,” kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dalam sidang media di sini.

ERL dalam kenyataan berkata, kerajaan akan berhenti membayar caj daripada kutipan caj perkhidmatan penumpang (PSC) mulai 2029.

Selain caj tambang, ERL kini menerima peratusan PSC dikenakan ke atas penumpang antarabangsa keluar dari Malaysia (RM5) dan domestik (RM1).

PSC yang dikutip daripada penumpang di KLIA dan klia2 dikongsi antara MAHB dan kerajaan berdasarkan formula. ERL mendapat sebahagian daripada bahagian diterima kerajaan.

Pada 2016, kerajaan menetapkan harga siling pada RM64. ERL mengekalkan tambang pada RM55 bagi setiap perjalanan sejak itu.

“Di bawah perjanjian baharu itu, kerajaan juga berhak mendapat 30% daripada keuntungan ERL, jika ambang dipenuhi,” kata Loke.

Ambang ditentukan ialah 10% kadar pulangan dalaman (IRR) pemegang kepentingan untuk ERL. IRR ialah metrik kewangan digunakan untuk menilai keuntungan pelaburan.

“Kami berharap konsensus baharu ini akan mendorong ERL meneruskan perkhidmatan terbaiknya,” kata Loke.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.