Keputusan rayuan sabitan rasuah Isa Samad ditukar 6 Mac

Keputusan rayuan sabitan rasuah Isa Samad ditukar 6 Mac

Salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan bekas pengerusi Felda itu sedang bercuti sakit.

Bekas pengerusi Felda Isa Samad merayu hukuman dan sabitan sembilan kes rasuah membabitkan suapan berjumlah RM3.09 juta. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan bekas pengerusi Felda Isa Samad terhadap sabitan dan hukuman kes rasuah yang dihadapinya kepada 6 Mac ini.

Tarikh baru itu ditetapkan ketika pengurusan kes hari ini dihadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Huda Humaira Idris.

Pada 28 Nov lalu, pendaftar menetapkan tarikh 31 Jan ini untuk mahkamah membacakan keputusan.

Ketika dihubungi FMT, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata tarikh keputusan itu ditukar kerana salah seorang hakim dalam panel yang mendengar rayuan itu sedang bercuti sakit.

Isa, 73, diwakili peguam Siti Sarah Khalil.

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera mempengerusikan sidang yang mendengar rayuan daripada pasukan pembelaan Isa dan pihak pendakwaan pada 16 Okt tahun lalu.

Dua lagi panel adalah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.

Pada 3 Feb 2021, Hakim Nazlan Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) mensabitkan Isa atas sembilan tuduhan menerima rasuah bernilai RM3.09 juta sebagai balasan untuk meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching oleh Felda.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004 itu dihukum penjara enam tahun dan didenda RM15.4 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Dis 2015.

Nazlan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan tempoh pemenjaraan keseluruhan 54 tahun dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak, bermakna Isa hanya perlu menjalani hukuman itu selama enam tahun.

Isa kini dibebaskan dengan ikat jamin RM1.5 juta dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan sehingga proses rayuan selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.