
Perbuatan sedemikian, termasuk komen tidak sesuai terhadap penampilan seseorang – menghina atau sebaliknya – antara contoh disenaraikan dalam pekeliling itu bagi mengekang gangguan seksual dalam kalangan peguam.
Gerak isyarat tidak senonoh atau sentuhan fizikal yang membuatkan seseorang tidak selesa, walaupun dilakukan secara bergurau, turut dianggap tidak sesuai.
Tanpa memberi sebarang sebab atas pengeluaran pekeliling itu, difahamkan ia didorong beberapa kes baru-baru ini.
Majlis Peguam berkata, mengugut atau menakut-nakutkan rakan sekerja kerana menolak permintaan tidak sesuai juga dianggap paksaan seksual.
“Ini termasuk ugutan jelas atau tersirat terhadap akibat negatif, seperti hilang pekerjaan, turun pangkat atau merosakkan reputasi profesional seseorang, jika mereka menolak permintaan tidak sesuai,” menurut pekeliling itu.
Majlis Peguam menasihatkan mangsa membuat aduan berhubung insiden sedemikian melalui “Peer Support Network” yang dilancarkannya dua tahun lalu dan ia menjamin kerahsiaan pengadu.

Wakil Selangor dalam Majlis Peguam, V Kokila Vaani berkata, ada beberapa aduan gangguan seksual dalam profesion undang-undang sejak kebelakangan ini, tetapi kebanyakan mangsa terpaksa membuat laporan polis dan memulakan saman sivil untuk menyelesaikannya.
“Pada pandangan saya, walaupun satu kes dalam profesion undang-undang dianggap terlalu banyak kerana tugas peguam untuk melindungi rakyat, bukannya mengganggu mereka.
“Jadi, lebih baik Majlis Peguam memperincikan perbuatan dianggap gangguan seksual dan pekeliling peringatan yang dikeluarkan baru-baru ini tepat pada masanya,” kata bekas ketua Majlis Peguam Selangor itu ketika dihubungi FMT.
Dua tahun lalu, Majlis Peguam meluluskan klausa dalam peraturannya yang menyatakan gangguan seksual ialah salah laku di bawah Seksyen 94(3) Akta Profesion Undang-undang.
Ia menyatakan sebarang tindakan gangguan seksual oleh peguam bela dan peguam cara atau pelatih atas kapasiti profesional atau dalam keadaan profesional merupakan salah laku.