Hanya sektor perladangan boleh ambil pekerja asing, kata Johari

Hanya sektor perladangan boleh ambil pekerja asing, kata Johari

Menteri perladangan dan komoditi berkata dianggarkan sektor itu mengalami kekurangan 40,000 tenaga kerja.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani (tengah) menyerahkan insentif program tanaman semula sawit berjumlah RM100 juta kepada wakil Agrobank di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Bangi.
BANGI:
Perladangan menjadi sektor tunggal dibenar membawa masuk pekerja asing yang kini memerlukan kira-kira 40,000 pekerja, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani.

Beliau berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail selepas perbincangan dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim, minggu lalu.

“Kementerian itu telah setuju pekerja-pekerja asing selain daripada perladangan tidak dibenarkan lagi masuk.

“Tetapi untuk industri perladangan ini terbuka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pada 16 Jan, Saifuddin dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

Saifuddin berkata tempoh permohonan membawa masuk pekerja asing dipendekkan daripada 29 bulan dan 13 hari kepada 15 bulan dan 23 hari selepas kuota pengambilan kembali dibuka.

Johari berkata bagaimanapun permohonan pengambilan pekerja asing itu akan diperketat supaya Malaysia tidak dituduh melakukan “buruh paksa” dan “pemerdagangan manusia”.

“Sesiapa nak bawa pekerja-pekerja asing ini kena pastikan tempat tinggal yang elok (dan) sempurna.

“Mana-mana orang bawa masuk pekerja ini dalam negara kita, kemudian sampai sini tak ada kerja, maka tetap kena bayar gaji kepada orang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Johari turut mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk membantu pekebun kecil di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.