
Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) mendedahkan anggaran kerugian hasil akibat kekurangan penuai kelapa sawit sahaja dianggarkan berjumlah RM20 bilion pada 2022.
“MPOA ambil maklum dan menghargai tindakan pantas serta sokongan yang dihulurkan oleh menteri dalam menangani kekurangan buruh yang kritikal ini dalam sektor perladangan,” katanya dalam kenyataan.
MPOA menambah pembekuan pengambilan pekerja asing sejak Mac tahun lalu memberi cabaran kepada pelbagai industri.
Terdahulu, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata perladangan menjadi sektor tunggal dibenar membawa masuk pekerja asing yang kini memerlukan kira-kira 40,000 pekerja.
Keputusan itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail selepas perbincangan dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim, minggu lalu.
Jelasnya, kemasukan pekerja asing dalam industri perladangan hanya khusus untuk kerja-kerja di ladang, dan menambah pihak yang membawa masuk pekerja itu perlu memastikan tempat tinggal yang elok dan sempurna.
Johari dilapor berkata peraturan kemasukan pekerja asing untuk industri perladangan akan diperketatkan, supaya Malaysia tidak dikategorikan sebagai negara yang mengamalkan buruh paksa dan pemerdagangan manusia, yang boleh mengundang tindakan sekatan terhadap produk yang dieksport keluar.