Apa yang salah, Dr M pertahan kenyataan ‘orang India tak setia’

Apa yang salah, Dr M pertahan kenyataan ‘orang India tak setia’

Bekas perdana menteri memberitahu polis beliau akan menjawab soalan tambahan mengenai perkara itu di mahkamah.

Polis mengambil keterangan Dr Mahathir Mohamad hari ini berkait kenyataan mengenai masyarakat India tidak setia kepada Malaysia kerana ‘masih terikat dengan negara asal’.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad tidak melihat beliau melakukan kesalahan apabila ditunjukkan rakaman temu bual bersama saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India, apabila diambil keterangan oleh polis hari ini.

Bekas perdana menteri berkata, beliau mempunyai hak dan pendirian berhubung kenyataan dikeluarkan sebelum ini mengenai masyarakat India tidak setia kepada Malaysia kerana “masih terikat dengan negara asal”.

“Bila tanya mengenai kenyataan saya, mereka tunjuk rakaman video, saya tidak nampak apa yang saya buat salah.

“Saya ada hak mempunyai pendirian ataupun fahaman saya, tetapi nampaknya itu dikatakan salah…mereka (polis) tanya, saya kata akan jawab di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas diambil keterangan di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Mahathir selesai memberi keterangan kepada polis kira-kira 4 petang selepas sejam proses itu berlangsung.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi berkata, sebanyak 19 soalan diajukan oleh polis kepadanya.

“Ada soalan yang ditanya saya boleh jawab seperti di mana rakaman temu bual tersebut, itu saya boleh jawab. Mereka tanya macam (di mana) rakaman itu dibuat, saya beritahu ia dibuat melalui Zoom, mereka ada di India, saya di sini (Malaysia),” katanya.

Dalam temu bual dengan saluran berita Tamil itu baru-baru ini, Mahathir berkata orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.

Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Mahathir bersetuju.

Beliau dikritik pelbagai pihak susulan pandangan diluahkan dalam temu bual itu.

Sementara itu, Mahathir mempersoalkan mengapa beliau sahaja disiasat pihak berkuasa sedangkan terdapat pemimpin politik lain juga mengeluarkan kenyataan rasis dan 3R (agama, kaum, diraja).

“Banyak lagi yang membuat kenyataan rasis dan 3R tapi tidak disoal. Banyak nama mereka dalam Kertas Pandora, Kertas Panama pun tidak disoal. Mereka buat kenyataan sahaja sudah cukup.

“Takkan saya tidak boleh buat kenyataan. Nama saya tidak ada dalam Kertas Pandora, Kertas Panama (tetapi) saya disiasat oleh polis,” katanya.

Mahathir mendakwa setakat ini sudah 10 kali disoal siasat polis dan merasakan dirinya seolah-olah penjenayah.

“Sekejap-sekejap saya disoal polis macam saya ini penjenayah. Ada laporan sahaja, polis tanya saya. Saya adalah rakyat yang mengikut undang-undang, kalau tanya saya mengikut undang-undang, saya akan jawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.