
Wahab memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi terhadap Badrul Hisham Shaharin, yang juga dikenali sebagai Chegubard.
Beliau mendakwa Badrul memuat naik dua hantaran di Facebook pada November tahun lalu yang mengaitkannya dengan aktiviti homoseksual dan bukan seorang penganut agama Islam yang baik.
“Peguam plaintif (Wahab) menghantar surat tuntutan kepada defendan (Badrul) pada 8 Dis 2023, bagi memadamkan hantaran Facebook tersebut.
“Bagaimanapun, defendan enggan menuruti tuntutan itu dan terus menyiarkan kenyataan berunsur fitnah,” kata Wahab dalam kenyataan tuntutannya.
Wahab berkata hantaran Facebook itu disiarkan dengan niat jahat untuk mendapatkan populariti dan mengaitkan beliau.
“Defendan menamakan plaintif dan sekutu politiknya supaya orang ramai tahu siapa dia sebenarnya,” katanya.
Wahab menuntut ganti rugi am, teruk dan tauladan daripada Badrul.
Beliau juga menuntut permohonan maaf dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat terhadap defendan.
Pada November tahun lalu, rakaman video berdurasi tiga minit yang menunjukkan perbualan antara seorang lelaki yang didakwa mirip bekas ketua pengarah J-Kom Agus Yusoff dan seorang lagi individu menjadi tular di media sosial.
Agus dengan tegas mendakwa video perbualan tular yang dikaitkan dengan dirinya sebagai disuai pinda dan disunting sebelum membuat laporan polis.
Pada Disember, Wahab yang juga naib pengerusi Pemuda PKR Hulu Langat, turut mendakwa dia diganggu secara seksual oleh Agus.