
Pada PRN Ogos, PAS yang mengetuai Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua 32 kawasan DUN menewaskan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), menyaksikan Adun Rhu Rendang Ahmad Samsuri Mokhtar kekal menteri besar.
Susulan itu, timbul persoalan ketiadaan pembangkang dalam DUN untuk memantau perjalanan yang berisiko mendedahkan pentadbirannya kepada penyalahgunaan kuasa.
Mengulas perkembangan itu, Exco Terengganu Hanafiah Mat berkata pihaknya belum mengadakan mesyuarat secara rasmi untuk membincangkan cadangan melantik Adun lantikan dalam kalangan profesional, bukan Islam, OKU, dan NGO dari pelbagai bidang.
Menurutnya, peranan untuk melaksanakan proses semak dan imbang kini digalas Adun sedia ada yang membangkitkan isu di kawasan masing-masing.
“Boleh tegur secara terbuka dan kerajaan negeri akan terima,” katanya yang memegang portfolio infrastruktur, utiliti, pembangunan luar bandar dan pengurusan bencana kepada FMT.
Malah katanya, sudah ada wakil wanita dalam DUN iaitu Adun Ladang Zuraida Md Noor untuk menyuarakan suara atau isu membabitkan kaum hawa.
“Tinggal Adun lantikan bukan Islam lagi, tetapi ini kita tak bincang secara rasmi lagi.”
Sebaik mengekalkan pentadbiran Terengganu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Razali Idris berkata mereka mempertimbangkan untuk melantik empat Adun lantikan dalam kalangan profesional, bukan Islam, OKU, dan NGO dari pelbagai bidang.
Samsuri sebelum ini berkata undang-undang tubuh kerajaan Terengganu membolehkan kerajaan negeri melantik Adun sekiranya ada kelompok tertentu tidak ada perwakilan.