
Sabtu lalu, Umno Selangor memutuskan mengembalikan semula kuota 20 kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada kerajaan negeri, pada masa sama menuntut 373 jawatan pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan Kampung (JPKK).
Exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Pembangunan Kampung Baru Ng Suee Lim berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat exco dipengerusikan Menteri Besar Amirudin Shari untuk diputuskan.
“Kita akan bincang dalam mesyuarat exco mengenai pendirian Umno…MB akan putuskan dan akan selesaikan isu ini dalam keadaan harmoni dan semangat keluarga besar,” katanya kepada FMT.
Selain boleh memilih ahli majlis PBT, kerajaan Selangor juga bertanggungjawab mencalonkan pengerusi JPKK atau ketua kampung.
Ng yang juga Adun Sekinchan berkata selain perbincangan di peringkat pentadbiran negeri, pendirian Umno itu juga akan diangkat dalam mesyuarat bersama pimpinan pusat PH.
“Kerana ia babitkan banyak perkara,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata tindakan itu bukan disebabkan pihaknya “merajuk”, tetapi bagi menafikan dakwaan parti itu tamak dan mendesak PH.
Beliau menegaskan ini kerana kuota 20 jawatan diperuntuk kepada Umno hanya 7% daripada 288 kerusi ahli majlis membabitkan 12 PBT.
Umno dan PH bekerjasama di Selangor susulan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, pada PRN Ogos lalu, gabungan itu menang 34 daripada 56 kerusi yang menyaksikan Amirudin Shari kekal sebagai menteri besar.
Umno yang menang dua kerusi iaitu di Dusun Tua dan Sungai Air Tawar diperuntuk satu kerusi exco, menyaksikannya kembali menganggotai pentadbiran Selangor selepas tewas pada PRU 2008.