Tak wajar minta 373 jawatan JPKK, Umno Selangor digesa teliti semula tuntutan

Tak wajar minta 373 jawatan JPKK, Umno Selangor digesa teliti semula tuntutan

Naib Ketua PKR Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata, perkara itu memerlukan perbincangan lanjut.

Juwairiya Zulkifli berkata, tuntutan Umno Selangor terhadap semua 373 jawatan pengerusi JPKK tidak wajar, selepas mengembalikan kuota 20 jawatan ahli majlis PBT kepada PH.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR Selangor menyifatkan tidak wajar Umno Selangor meminta semua 373 jawatan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), selepas mengembalikan kuota 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada Pakatan Harapan (PH).

Naib Ketua PKR Selangor Juwairiya Zulkifli sebaliknya meminta Barisan Nasional (BN), rakan baharu mereka dalam kerajaan negeri, meneliti semula tuntutan itu.

Timbalan ketua Wanita PKR itu berkata, pemimpin PH dan BN negeri sudah membincangkan pembahagian jawatan sebelum ini, termasuk ahli majlis PBT.

“Namun, perbincangan lanjut (pimpinan PH dan BN Selangor) perlu dilakukan semula susulan maklum balas pengerusi Umno negeri,” katanya kepada FMT.

Semalam, Umno Selangor memaklumkan mereka akan mengembalikan kuota 20 jawatan ahli majlis PBT di negeri itu kepada PH.

Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin dilaporkan berkata, tindakan itu bukan disebabkan pihaknya “merajuk”, tetapi bagi menafikan dakwaan parti itu tamak dan mendesak PH.

Bagaimanapun, katanya, Umno Selangor mahu semua 373 jawatan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan JPKK diserahkan kepada pihaknya.

Sementara itu, Setiausaha PKR Selangor Mohd Khairuddin Othman menyifatkan cadangan Megat Zulkarnain bersifat sebelah pihak dan belum muktamad kerana Menteri Besar Amirudin Shari yang akan membuat keputusan.

“Apa pun lantikan yang akan dibuat, akan melalui proses perbincangan. Setiap parti berhak mencadangkan apa saja dan akhirnya diputuskan oleh menteri besar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.