Peranan penterjemah kekal walau ‘diancam’ AI

Peranan penterjemah kekal walau ‘diancam’ AI

Bercakap di Kuala Lumpur, Presiden Persekutuan Penterjemah Antarabangsa Alison Rodriguez berkata bidang terjemahan masih perlukan 'sentuhan manusia'.

Alison Rodriguez berkata, penggunaan AI sebagai mesin penterjemah belum sampai berfungsi sendiri dan memerlukan kawal selia penterjemah profesional. (Gambar Fail)
KUALA LUMPUR:
Peranan penterjemah masih lagi penting dan akan kekal dalam industri penterjemahan biarpun berhadapan tekanan kesan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menyedari cabaran dihadapi industri bernilai USD65 bilion itu, Presiden Persekutuan Penterjemah Antarabangsa (FIT) Alison Rodriguez, berkata sementara teknologi itu terbukti berguna, ia masih memerlukan sentuhan manusia bagi memastikan segalanya sempurna kerana kesilapan kecil pada tanda baca pun boleh membawa kesan yang buruk.

“Satu kesilapan kecil penterjemahan perkataan oleh AI boleh membawa kesan kepada kestabilan sejagat. Justeru, kami tidak boleh kata kesan kesilapan terjemahan AI kepada masyarakat adalah sedikit sahaja, ia boleh menjadi agak serius dan membangkitkan pelbagai kebimbangan lain, dalam hal ini, kami rasa kami mempunyai peranan penting dalam menterjemah sesuatu seperti diplomasi antarabangsa.

“…dan juga pada satu tahap amat peribadi, dalam komunikasi harian anda dan dokumen anda berkaitan undang-undang, jika anda menandatangan satu dokumen melibatkan undang-undang yang diterjemahkan dan anda yakin terjemahan itu adalah betul tetapi ia dibuat oleh AI tanpa diperiksa, anda boleh menghadapi masalah serius. Jadi, kita perlu peka dengan bahaya dan risikonya,” katanya.

Rodriguez berkata demikian semasa sesi soal jawab Forum Antarabangsa FIT-MTA (Persatuan Penterjemah Malaysia) bertajuk “Peranan FIT dalam Amalan Terjemahan Hari Ini”.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat revolusi teknologi itu sebagai ancaman, sebaliknya sesuatu yang tidak boleh diabaikan dan menggalakkan kewujudan generasi baharu pemain yang tidak boleh diambil alih mesin.

“Pasaran sedang mengalami perubahan, benda berubah tetapi yang pasti masa hadapan penterjemah masih ada. Ia adalah mengenai bekerja dengan teknologi itu dan tidak takut kepadanya dan menggunakannya untuk kelebihan kami.

“Ia juga berkenaan perkongsian kerisauan yang kami alami bahawa menggunakan AI dan mesin penterjemah pada masa ini ia bukan berada pada tahap yang ia boleh berfungsi sendiri, terdapat keperluan kepada ahli bahasa dan penterjemah profesional yang boleh bekerja dengannya (AI),” katanya.

Forum ini merupakan sebahagian daripada program empat hari yang menyaksikan pelancaran FIT Asia (FIT Rantau Asia) semalam di Hotel Grand Millennium.

FIT ASIA adalah pusat serantau kelima menyertai FIT Eropah, FIT Amerika Utara, FIT Amerika Latin, dan yang baru sahaja ditubuhkan FIT Afrika.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.