Harapan Harimau Malaya di Qatar punah, Pan Gon salahkan diri

Harapan Harimau Malaya di Qatar punah, Pan Gon salahkan diri

Ketua jurulatih skuad negara meletakkan jangkaan tinggi terhadap barisan pemain untuk cuba mencipta kejutan dan sejarah, di sebalik realiti atas kertas.

Ali Madan menjaringkan gol kemenangan Bahrain yang memusnahkan peluang Harimau Malaya mara ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia tersingkir daripada kempen Piala Asia 2023 selepas tewas 0-1 kepada Bahrain dalam perlawanan kedua Kumpulan E di Stadium Jassim bin Hamad, Al Rayyan, Qatar, malam tadi.

Menurut Bernama, jaringan tunggal penyerang Bahrain, Ali Madan pada hujung permainan memusnahkan peluang Harimau Malaya mara ke pusingan 16 terakhir.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengambil sepenuhnya tanggungjawab atas kegagalan negara itu, yang juga kekalahan kedua berturut-turut Malaysia, selepas tewas 0-4 kepada Jordan Isnin lalu.

Pertembungan sulung Bahrain dan Malaysia di pentas Piala Asia itu menyaksikan empat pertukaran dalam kesebelasan utama skuad negara, iaitu Mohd Shahrul Mohd Saad dan Dominic Tan di bahagian pertahanan, Mohamed Syamer Kutty Abba di bahagian tengah serta Paulo Josue selaku penyerang tunggal dalam formasi 5-4-1.

Malaysia berpeluang mendahului pada minit ke-16 menerusi gerakan Mohamad Faisal Abdul Halim melorong bola kepada Josue yang gagal menyudahkannya, sebelum bola muntah disambar Arif Aiman Mohd Hanapi, tetapi rembatannya ditampan keluar penjaga gol, Ebrahim Lutfalla.

Pasukan negara terus mengancam kubu pertahanan lawan dengan Arif Aiman lewat menyambar hantaran lintang Josue pada minit ke-19, sebelum hantaran lintang pemain pertahanan kanan, Matthew Davies dari sebelah kiri gawang sedikit melewati palang pada minit ke-28.

Gawang negara cemas seketika apabila pemain tengah, Komail Alaswad melepasi kawalan pertahanan dalam kotak penalti sebelum Dion Cools dan Dominic tampil menyelamatkan keadaan, tatkala Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah tertewas pada minit ke-31.

Selepas 45 minit pertama permainan dilihat lebih memihak Malaysia, Bahrain tampil lebih garang pada separuh masa kedua dengan tandukan Abdulla Yusuf yang menerima hantaran Alaswad dalam kotak penalti sedikit melewati tiang pada minit ke-56.

Perlawanan mendebarkan di hujung permainan apabila voli Davies dari kiri gawang yang menerima hantaran pemain gantian, Muhammad Akhyar Abdul Rashid melambung tinggi pada minit ke-90.

Bahrain yang dibimbing Juan Antonia Pizzi pula terlepas peluang keemasan “mematikan” perlawanan di awal masa kecederaan babak kedua, selepas gerakan satu dua ke dalam kotak penalti gagal disudahkan pemain tengah gantian, Ali Hasan yang diselamatkan Syihan.

Bahrain akhirnya merobek gawang negara menerusi rembatan pemain tengah, Ali Madan hasil sepakan sudut yang gagal diselamatkan Syihan, sekali gus menghidupkan peluang skuad Dilmun’s Warriors memburu slot ke pusingan 16 terbaik.

Jangkaan tinggi

Pan Gon tidak menyalahkan sesiapa, kecuali dirinya yang meletakkan jangkaan tinggi terhadap barisan pemain untuk cuba mencipta kejutan dan sejarah, di sebalik realiti atas kertas.

“Tiada apa yang salah, di sinilah kami berada, mungkin sebagai jurulatih saya silap. Saya mempunyai terlalu banyak jangkaan…memberi terlalu banyak impian kepada pemain saya, kepada orang ramai (rakyat Malaysia), itu masalah saya.

“Tiada apa-apa (salah) daripada FA (Persatuan Bolasepak Malaysia), daripada pemain atau orang ramai, ini masalah jurulatih,” katanya menurut Bernama dalam sidang media selepas perlawanan berakhir.

Jurulatih dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu merasakan Malaysia sekurang-kurangnya mampu mencatat keputusan seri, selain menganggap anak buahnya gagal mendominasi permainan.

Dari sudut positif, beliau melihat penampilan Malaysia pada edisi kali ini memberi pengalaman berguna kepada pemain muda yang masih berpeluang beraksi pada edisi akan datang.

Malaysia akan melengkapkan baki saingan kumpulan bertemu juara dua kali Korea Selatan, manakala Bahrain akan membuat perhitungan dengan Jordan, masing-masing pada Khamis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.