CIDB bantu warga asing ‘diperdaya’ cari kerja

CIDB bantu warga asing ‘diperdaya’ cari kerja

Ia susulan laporan FMT pada 10 Jan terdapat dakwaan sindiket pekerja asing berselindung di sebalik lesen kontraktor.

Sindiket dipercayai menerima bayaran sehingga RM20,000 bagi seorang pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini.
PETALING JAYA:
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan membantu mencari kerja untuk warga asing diperdaya ejen didakwa berselindung di sebalik lesen kontraktor pembinaan dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud.

Bertindak susulan laporan FMT pada 10 Jan lalu, agensi di bawah Kementerian Kerja Raya itu berkata bantuan akan diberikan dengan mencari majikan yang sesuai bagi mereka yang masih tersadai tanpa kerja.

Pada masa sama, CIDB berkata pihaknya dengan kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan memeriksa syarikat menggajikan pekerja asing dalam tempoh pelan kelonggaran awal tahun lalu untuk mengesan sindiket terbabit.

“CIDB akan memastikan semua kontraktor mematuhi peraturan ditetapkan bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

Menurutnya, pihaknya juga melancarkan inisiatif e-Pemantauan Personel Binaan (EP2B), yang memerlukan kontraktor sentiasa mengemas kini status pekerja asing mereka.

“Ia termasuk sama ada masih aktif bekerja, telah melarikan diri, pulang ke negara asal, atau meninggal dunia.

“Kontraktor gagal memberikan maklumat yang diperlukan mungkin berdepan beberapa tindakan termasuk tidak boleh mengakses sistem pengurusan berpusat (CIMS) dan tidak dapat menggunakan sistem untuk tujuan lain.”

Pada 10 Jan lalu FMT melaporkan terdapat sindiket pekerja asing berselindung di sebalik lesen kontraktor, dipercayai taktik untuk membawa masuk pekerja dari negara sumber terutama Bangladesh.

Sumber industri berkata, ada kumpulan terbabit mempunyai lesen kontraktor CIDB untuk mengaburi pihak berkuasa, bagi memudahkan membawa masuk pekerja asing mengisi kekosongan “tidak wujud”.

Sindiket itu dipercayai menerima bayaran sehingga RM20,000 bagi seorang pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini.

Pelan kelonggaran penggajian pekerja asing dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bermula 17 Jan hingga 18 Mac tahun lalu membabitkan lima sektor atau subsektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Menteri sumber manusia ketika itu V Sivakumar berkata pelaksanaan tersebut bertujuan menyegerakan proses permohonan dan kelulusan penggajian pekerja asing dalam sektor kritikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.