Terpedaya pelaburan kripto, jururunding rugi lebih RM1.6 juta

Terpedaya pelaburan kripto, jururunding rugi lebih RM1.6 juta

Polis berkata, mangsa hanya sedar ditipu apabila diminta membuat bayaran cukai Arab Saudi ketika hendak mengeluarkan wang keuntungan pelaburannya.

Mangsa berusia 37 tahun dari Taman Perak diperdaya menerusi Facebook dan Telegram untuk membuat pelaburan mata wang kripto.
IPOH:
Seorang jururunding kerugian RM1.65 juta akibat membuat pelaburan mata wang kripto menggunakan platform “Unobitex” tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 37 tahun yang berasal dari Taman Perak di sini, kelmarin.

Beliau berkata, mangsa membuat aduan satu kes tipu pelaburan tidak wujud apabila suspek memperdayanya melalui laman Facebook dan aplikasi Telegram untuk membuat pelaburan mata wang kripto menggunakan platform berkenaan.

Katanya, siasatan polis mendapati pada awal September 2023, semasa mangsa berada di rumahnya, beliau diperkenalkan seorang rakan dikenali melalui Facebook untuk membuat pelaburan dalam pasaran unit mata wang kripto melalui platform “Unobitex”.

“Sejak 12 Sept 2023, mangsa memasukkan dana sebanyak 44 kali ke pelbagai akaun bank berbeza berjumlah RM1,651,585 (RM1.65 juta).

“Namun, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan pelaburan, suspek meminta mangsa membuat bayaran cukai Arab Saudi, barulah mangsa sedar beliau ditipu suspek,” katanya dalam kenyataan malam tadi sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, Yusri mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan tidak diluluskan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.

“Sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, mereka boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp saja) yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.