KPDN tempat penguat kuasa di 7 pintu masuk sempadan negara

KPDN tempat penguat kuasa di 7 pintu masuk sempadan negara

Pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di pintu masuk sempadan negara di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga SBA ditubuhkan, kata Armizan Ali.

Menteri KPDN Armizan Ali berkata, penempatan pegawai penguat kuasa KPDN itu akan diintegrasikan dalam proses pemeriksaan sedia ada. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan ditempatkan di tujuh pintu masuk sempadan negara di empat negeri dalam usaha mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

Menteri Armizan Ali berkata, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di pintu masuk sempadan negara di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga agensi tunggal sempadan negara (SBA) ditubuhkan.

Langkah itu juga selaras dengan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi pada tahun ini, katanya.

Armizan berkata, pegawai-pegawai KPDN ini akan memantau secara berkala operasi penguatkuasaan bawah tiga akta dikawal selia KPDN, iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).

“Dengan adanya penempatan pegawai kita dengan serta-merta di tujuh pintu masuk ini, mereka akan dapat melihat sendiri dan seterusnya memberikan respons kepada bahagian penguat kuasa pada peringkat kementerian, bagaimana operasi penguatkuasaan tersebut dapat ditambah baik,” katanya.

Armizan berkata, KPDN akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk membolehkan pegawai penguat kuasanya ditempatkan di pintu masuk negara, seperti mana pegawai Jabatan Kastam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar hari ini, lapor Bernama.

Armizan berkata, penempatan pegawai penguat kuasa KPDN itu juga bukan bermaksud akan ada tambahan peringkat pemeriksaan keselamatan baharu di pintu-pintu masuk negara, sebaliknya diintegrasikan dalam proses pemeriksaan sedia ada.

Dalam pada itu, Armizan memaklumkan, KPDN akan meneruskan pelaksanaan Op Tiris dengan skop tahun ini akan diperluas kepada barangan kawalan lain seperti gula, minyak masak tepung gandum, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).

Beliau berkata, KPDN juga akan memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan di sempadan negara bagi meningkatkan kawalan, selain akan menambah baik prosedur operasi standard bagi Kes Penyerahan Agensi daripada agensi penguatkuasaan yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.