
Bercakap kepada FMT, Salim menjelaskan mengikut prinsip rukun Islam kelima, hanya individu yang mampu diwajibkan manakala mereka yang ‘uzur kewangan’ tidak wajib, namun perlu berusaha untuk mengerjakannya.
“TH ditubuhkan untuk membantu orang Islam mengerjakan haji tetapi kita tak bolehlah bebankan sangat pada TH.
“Kena ada juga daya usaha kita untuk cukupkan keperluan dan kewangan untuk mengerjakan haji,” katanya, menjelaskan institusi Islam itu berperanan menyediakan kemudahan serta kebajikan jemaah selain menjalankan aktiviti pelaburan bagi memberi nilai tambah kepada pencarum.
Semalam, TH mengumumkan kos menunaikan haji tahun ini meningkat 8% kepada RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu, dengan golongan B40 pertama kali menunaikan ibadah haji hanya perlu membayar RM12,356, M40 sebanyak RM19,152, manakala T20 membayar kos penuh RM33,300 seorang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata kerajaan akan menanggung kos sebanyak RM9.4 juta untuk pemberian subsidi sebanyak RM1,000 bagi setiap jemaah B40.
Mengulas rungutan segelintir pencarum yang didakwa mempersoalkan subsidi, Salim berkata pandangan itu harus diambil kira untuk kepentingan pencarum dan pelaburan TH.
“Jangan sampai TH alami kerugian kerana terlalu banyak tanggungan… maknanya kena imbangkan kepentingan pencarum dan kepentingan pelabur TH,” katanya.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) Mohd Khalid Harun senada dengan Salim supaya pemberian subsidi haji dikaji semula, memandangkan kos meningkat setiap tahun.
Beliau turut membangkitkan isu kuota dan tidak bersetuju dengan pendekatan subsidi.
“Kenapa kerajaan perlu subsidi? Saya tak setuju dengan pendekatan ini… sepatutnya berapa kos (haji) itulah yang perlu dibayar jemaah,” katanya.
“Jangan sampai bergolok bergadai. Sepatutnya bila mampu sahaja pergi.”