Hassan bimbang dakwaan Dr M berkait ugutan penjara terhadap anak

Hassan bimbang dakwaan Dr M berkait ugutan penjara terhadap anak

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berharap SPRM akan bertindak secara profesional dan mengikut undang-undang ketika menjalankan siasatan.

Hassan Karim menekankan individu disiasat SPRM tidak patut diugut dalam proses itu.
PETALING JAYA:
Ahli sebuah daripada lima panel pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bimbang terhadap dakwaan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berhubung anaknya diugut dengan hukuman penjara lima tahun.

Hassan Karim yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah menerusi surat terbuka kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berharap agensi antirasuah itu akan melaksanakan tugasnya secara profesional dan mengikut undang-undang ketika menjalankan siasatan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, walaupun golongan elit yang dahulunya dilihat seperti “kebal dan tidak boleh disentuh” SPRM, kini telah dipanggil ke ibu pejabatnya untuk disiasat, tetapi mereka tidak patut diugut.

“Saya memandang serius aduan Mahathir bahawa anaknya yang disiasat oleh SPRM telah diugut dengan hukuman penjara lima tahun. Hal seperti ini sepatutnya tidak berlaku,” katanya.

Terdahulu, Mahathir dalam catatan X semalam mendakwa anaknya “didakwa dengan ugutan jika dia buat apa-apa tindakan yang pendakwa anggap bertentangan dengan dakwaan, dia akan dipenjara selama lima tahun’.

“Tidak disebut akan dihadap ke mahkamah.”

Tanpa menyebut siapa yang dimaksudkannya, catatan itu dibuat sehari selepas SPRM memaklumkan ia menyampaikan notis mengisytiharkan aset kepada anaknya, Mirzan, sebagai sebahagian siasatan berkait maklumat dalam laporan Kertas Panama.

SPRM juga berkata, ia mengeluarkan notis itu susulan siasatannya ke atas aktiviti perniagaan Mirzan membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan.

SPRM dalam kenyataan kelmarin berkata, ia memanggil Mirzan ke ibu pejabatnya di Putrajaya pada Rabu untuk menyampaikan notis pengisytiharan aset di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan semua aset alih dan tidak alih dalam pegangannya dalam tempoh 30 hari.

Katanya, ia sedang meneliti dokumen kewangan dan aset dimiliki rakyat Malaysia yang dinamakan dalam laporan Kertas Pandora dan Kertas Panama.

Walaupun Hassan memuji SPRM menjalankan siasatan berkaitan pendedahan dalam laporan Kertas Pandora dan Kertas Panama, beliau berharap agensi itu akan bertindak secara adil dan telus.

Katanya, SPRM bukan badan pendakwaan mahupun mahkamah, dan peranannya sama seperti polis, yang bertindak sebagai agensi penyiasatan tertakluk kepada Kanun Acara Jenayah.

“Jangan mereka yang dianggap penentang atau seteru kepada kerajaan perpaduan yang berkuasa sekarang saja yang disiasat, tetapi penyokong dan anggota kerajaan perpaduan tidak disiasat.

“SPRM mesti bersikap telus, profesional dan berintegriti dalam menjalankan tugasnya dengan berasaskan prinsip tanpa takut dan pilih kasih.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.