Bot karam, lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing

Bot karam, lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing

Kejadian berlaku selepas bot dinaiki Muhammad Khairul Rusydan, 30, karam di Empangan Chenderoh dekat Kuala Kangsar semalam.

Menurut pihak bomba, pencarian mangsa yang ditangguhkan malam semalam diteruskan semula 8 pagi tadi yang dibantu beberapa agensi menggunakan 17 bot. (Gambar JBPM)
IPOH:
Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya karam di Empangan Chenderoh di Kampung Chenderoh dekat Kuala Kangsar, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar menerima panggilan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Muhammad Khairul Rusydan, 30, pada 5.32 petang.

“Anggota bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian. Bot itu dikatakan karam akibat ribut ketika mangsa dan seorang rakannya sedang memancing di situ.

“Namun, rakannya berjaya diselamatkan oleh pemancing lain yang berada berhampiran mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata SAR yang ditangguhkan pada 8 malam tadi disambung semula 8 pagi ini.

“Pencarian membabitkan kekuatan 54 orang terdiri daripada anggota JBPM, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Tenaga Nasional Berhad serta nelayan darat dengan menggunakan 17 bot,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.