
Tertuduh, Hamid Khan Samoon, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan, Kuala Lumpur, pada 8 malam, 1 hingga 10 Jan lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung kakak yang sudah tiada suami, menurut Berita Harian.
“Saya menanggung kakak saya, anak dia (kakak) sudah meninggal dunia, kakak saya mengharapkan saya sangat-sangat,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Kafli membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki direman tujuh hari apabila dipercayai terbabit kes dua beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor, sejak 1 Jan lalu.
Polis menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pada 2.48 pagi, 12 Jan lalu yang mendakwa dicabul dan diliwat seorang lelaki di sebuah hotel di Jalan Sultan.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes berkenaan di hadapan sebuah hotel di lokasi kejadian.
Media melaporkan dua beradik lelaki dilaporkan hilang pada 1 Jan lalu dan mendakwa dikurung dalam sebuah motel di Jalan Petaling, oleh individu tidak dikenali.
Malah, remaja itu mendakwa selama dikurung bersama adiknya, mereka diperlakukan tidak baik sebelum dipisahkan pada 9 Jan lalu.
Bagaimanapun, remaja itu berjaya melarikan diri sebelum ditemui dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, 11 Jan lalu.