Sindiket ‘jus dadah’ tumpas, wanita antara 6 ditahan

Sindiket ‘jus dadah’ tumpas, wanita antara 6 ditahan

Polis berkata, serbuk dan jus dadah itu dijual pada harga RM180 hingga RM300, bergantung kepada saiz botol minuman, kuantiti serta kandungan dadah.

Mohd Kamaruddin Md Din (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dicampur dalam jus minuman untuk dijual di pusat hiburan dan parti persendirian di Lembah Klang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sindiket mencampurkan lima jenis dadah dalam jus minuman untuk dijual kepada pengunjung pusat hiburan dan parti persendirian di sekitar Lembah Klang tumpas susulan penahanan enam suspek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata enam suspek, termasuk seorang wanita berusia 19 hingga 40 tahun ditahan bersama dalang utama berusia 39 tahun.

Mereka ditahan dalam lima serbuan di sekitar Cheras dan Kajang pada Selasa serta Rabu lalu, termasuk di dua kondominium mewah dipercayai tempat memproses dan menyimpan dadah.

“Bekalan dadah disimpan di dua kondominium dan diproses menjadi serbuk yang kemudian dicampur ke dalam jus minuman mengikut permintaan pelanggan,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di IPD Cheras.

Kamarudin berkata, siasatan mendapati serbuk dan jus dadah itu dijual pada harga RM180 hingga RM300, bergantung kepada saiz botol minuman, kuantiti serta kandungan dadah.

Katanya, sindiket itu aktif sejak pertengahan tahun lalu dan mengaut keuntungan lumayan kerana mampu mengupah pekerja RM30,000 sebulan.

Beliau berkata, pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM448,850 membabitkan 55.44 liter jus disyaki dadah, 1.68kg serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 144g ketamin, 16g ganja, 5kg serbuk ekstasi, 550 pil Erimin 5 serta 2,900 biji pil ekstasi dirampas.

Turut disita pelbagai aset termasuk tiga kenderaan, wang tunai, barang kemas dan jam mewah dianggarkan bernilai RM489,408.

“Kita masih menyiasat punca bekalan dadah diperolehi dan mengesan rangkaian serta ahli sindiket lain,” katanya sambil menambah dadah dirampas itu boleh digunakan 27,000 penagih dadah.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek itu positif ketamin dan seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari hingga 23 Jan ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.