
Wan Junaidi Tuanku Jaafar merujuk kepada pindaan yang dibuat oleh beberapa parti politik pada perlembagaan masing-masing, termasuk Umno, DAP, dan Amanah.
Perlembagaan Umno menyatakan keahlian akan tergugur secara secara automatik sekiranya Ahli Parlimennya menyertai ‘pakatan’ yang tidak dianggotai parti itu.
Perlembagaan DAP dan Amanah pula menyatakan keahlian akan tergugur secara automatik sekiranya wakil rakyatnya tidak mengikut pendirian parti dalam isu-isu asas.
Pindaan berkenaan diperkenalkan selepas undang-undang antilompat parti digubal, yang menyatakan seseorang ahli Dewan Rakyat setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya hendaklah menjadi kosong jika dia “tidak lagi menjadi anggota parti politik itu”.
Wan Junaidi berpandangan mahkamah boleh tentukan kesahan pindaan-pindaan itu, kerana ia hanya diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPBM).
Sebaliknya, beliau percaya lebih baik Putrajaya meminda dan menutup kelompangan undang-undang anti-lompat parti itu.
“Pindaan pada undang-undang adalah lebih baik untuk menangani perkara ini, kerana ia lebih terperinci dan akan datang dari undang-undang itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas satu forum anjuran Majlis Profesor.
Bersatu menggambarkan undang-undang anti lompat parti itu sebagai cacat selepas lima orang Ahli Parlimennya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tanpa meninggalkan parti, menggunakan “kelompangan” dalam undang-undang antilompat parti.
Perkara 49A Perlembagaan, yang lebih dikenali sebagai undang-undang antilompat parti, menyatakan bahawa kerusi seseorang ahli Dewan Rakyat setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik hendaklah menjadi kosong jika dia melepaskan keanggotan parti politiknya, atau tidak lagi menjadi anggota parti politiknya.
Kerusi Ahli Dewan Rakyat itu yang setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik pula hendaklah menjadi kosong jika dia menyertai suatu parti politik.
Pada minggu lalu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pindaan kepada perlembagaan parti itu yang diluluskan tahun lepas menghalang Ahli Parlimen mereka membelakangi keputusan parti.
Menolak spekulasi sekitar gerakan menyingkir Anwar sebagai perdana menteri, Asyraf berkata keahlian Ahli Parlimen Umno yang menyertai suatu ‘pakatan’ yang tidak dianggotai parti akan tergugur secara automatik.