Palam pintu Boeing 737 buatan Malaysia dilulus AS, kata Loke

Palam pintu Boeing 737 buatan Malaysia dilulus AS, kata Loke

Menteri pengangkutan itu berkata, CAAM bagaimanapun telah menawarkan bantuan kepada FAA dalam siasatan berhubung palam pintu tercabut dari pesawat itu.

Menurut Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, FAA akan memaklumkan Malaysia sekiranya memerlukan bantuan dalam siasatannya.
KLANG:
Palam pintu buatan Malaysia yang tercabut daripada pesawat Boeing 737 MAX 9 Alaska Airlines mendapat kelulusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

“Walaupun ia dibuat di Malaysia, FAA yang meluluskan produk itu,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Klang hari ini.

Bagaimanapun, Loke berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menawarkan bantuan kepada FAA yang sedang menyiasat perkara ini.

“(FAA) memberitahu kalau mereka perlukan bantuan, mereka akan maklumkan kita,” katanya.

Awal bulan ini, sebuah pesawat Alaska Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas sebuah tingkap dan sebahagian dinding sisinya tercabut, meninggalkan lubang besar di badan pesawat dan menyebabkan tekanan kabin berkurangan secara tiba-tiba. Insiden itu berlaku tidak lama selepas pesawat itu berlepas dari Portland, Oregon.

Penumpang dalam pesawat Boeing 737 MAX 9 menggunakan media sosial untuk menyiarkan gambar dan video lubang di badan pesawat itu dengan topeng oksigen dikeluarkan.

Portal berita Oregon Public Broadcasting (OPB) melaporkan seorang guru sekolah di Portland, Bob Sauer mendakwa menemui palam pintu tercabut itu di halaman belakang rumahnya.

OPB melaporkan Sauer mencari butiran pembuatan, termasuk perkataan “Buatan Malaysia” yang ditulis tangan menggunakan pen dakwat kekal.

Semalam, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat mengesahkan palam pintu itu dihasilkan Spirit AeroSystems di Malaysia sebelum dihantar kepada pembekal Boeing di Wichita, Kansas.

Pengerusi NTSB, Jennifer Homendy dilaporkan berkata, NTSB akan menyelidik pengeluaran palam pintu itu, pengangkutan, pemasangan dan kemasukan dalam perkhidmatan, serta pemeriksaan kualiti di sepanjang proses berkenaan.

New Straits Times pula melaporkan Spirit AeroSystems enggan mengulas inskripsi dan kejadian membabitkan Alaska Airlines itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.