Layan migran dengan cara tak betul bukan ajaran Islam, kata Shahril

Layan migran dengan cara tak betul bukan ajaran Islam, kata Shahril

Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, mengulas tentang label-label yang dilontar terhadap migran.

Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata tidak ada pihak yang rugi sekiranya masyarakat ambil pendirian yang lebih kemanusiaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Melayan migran dengan cara yang tidak betul bukan ajaran Islam, tegas bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Beliau mengulas tentang label-label yang dilontar terhadap migran, dan berharap masyarakat Malaysia tidak melampau dalam melayan manusia lain.

“Saya rasa sedih bila tengok kadang-kadang orang Melayu-Islam ini yang cara dia cakap tentang orang migran ini, termasuk orang migran Islam… dan macam-macam lah yang dilabel tentang mereka kononnya tak eloklah, kononnya menyusahkanlah, seolah-olah mereka ini tak sama ‘level’ dengan kita.

“Saya yakin sangat-sangat ini bukan ajaran agama kita,” katanya, dalam episod terkini podcast Keluar Sekejap.

Shahril berkata tidak ada pihak yang rugi sekiranya masyarakat ambil pendirian yang lebih kemanusiaan.

“Bukan keputusan dia untuk lahir di negara mana. Kadang-kadang benda asas ini kita lupa sebagai manusia bahawa kita bersyukur dapat lahir di Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, rakan pengacaranya, Khairy Jamaluddin, yang juga bekas menteri kesihatan berkata layanan terhadap pekerja asing mesti ditingkatkan, dan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan.

“Saya sendiri melihat sewaktu saya jaga menteri kesihatan dahulu bahawa perumahan yang disediakan oleh pekerja migran ini sangat-sangat daif, dan dalam keadaan yang sangat teruk bukan hanya menjejaskan kebajikan mereka tetapi menjadi satu ancaman kepada kesihatan awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.