Daftar pemilih tambahan Disember 2023 dibuka untuk semakan

Daftar pemilih tambahan Disember 2023 dibuka untuk semakan

SPR seru warganegara berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Dis dan pemilih yang memohon pertukaran bahagian semak nama mereka.

Daftar Pemilih Tambahan Disember 2023 dibuka untuk semakan selama 30 hari hingga 17 Feb.
KUALA LUMPUR:
Daftar Pemilih Tambahan Disember 2023 (DPT BLN12/2023) yang diperaku dan diwartakan hari ini kini dibuka untuk semakan, selama 30 hari hingga 17 Feb depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata DPT BLN12/2023 mengandungi 38,285 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas, dalam tempoh 1 hingga 31 Dis lepas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Daftar pemilih itu juga mengandungi 6,139 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya, dan 2,671 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Dis 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2023.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Ikmalrudin berkata mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Menurutnya, Borang C dan D itu juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan serta membayar fi bantahan pada waktu pejabat, pada hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN12/2023.

Bagi semakan DPT BLN12/2023, SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal SPR (https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my); portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my); aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my); aplikasi mudah alih MySPR Semak dan Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih melalui talian 03-8892 7218.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.