
Hakim K Muniandy menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan masih belum membuat keputusan mengenai representasi yang difailkan bagi pihak Najib agar tuduhan pengubahan wang haram digugurkan.
Perbicaraan ditetapkan untuk berlangsung dari 17 hingga 19 Sept, dan 23 hingga 24 Sept.
“Sekiranya pihak pendakwaan tidak bersedia untuk meneruskan (perbicaraan) pada hari-hari tersebut, pihak pembelaan boleh memohon perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) atau pembebasan (penuh),” tambah Muniandy.
Mahkamah turut menetapkan 12 Mac untuk satu lagi pengurusan kes.
Shafee Abdullah mewakili Najib selaku peguam.
Tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta itu adalah yang pertama dirangka terhadap bekas perdana menteri itu pada Februari 2019.
Tidak lama selepas itu, kes salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah Najib berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta bermula, iaitu pada 3 April 2019.
Bagaimanapun, kes membabitkan tiga tuduhan pengubahan wang haram itu tidak diteruskan bersama kes kedua.
Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan bersalah dalam kes membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib berhubung sabitan dan hukumannya pada 8 Dis 2021.
Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 sejurus selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.