300 penunggang Grab protes struktur tambang rendah

300 penunggang Grab protes struktur tambang rendah

Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia mahu melancarkan protes lebih besar minggu depan jika isu tidak diselesaikan dalam tempoh lima hari.

Kira-kira 300 penghantar Grab berkumpul di luar ibu pejabat syarikat penghantar itu di Petaling Jaya bagi menuntut struktur tambang yang lebih adil.
PETALING JAYA:
Kira-kira 300 penghantar Grab mengadakan protes di luar ibu pejabat syarikat penghantar itu petang tadi bagi menuntut beberapa isu yang menjejaskan mata pencarian mereka diselesaikan segera.

Tuntutan utama kumpulan itu adalah meminta Grab mengembalikan semula tambang asas RM5 untuk penghantaran dalam Lembah Klang yang dikurangkan kepada RM4 pada minggu lalu.

Kata kumpulan itu, tambang asas RM5 sebelum ini sudah cukup rendah bagi mereka.

Terdahulu, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia juga menggesa kerajaan campur tangan susulan langkah Grab menstruktur semula struktur tambang penghantaran kerana mendakwa tambang baru itu terlalu rendah.

Dalam bantahan hari ini, wakil Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) turut bertemu dengan pengurusan Grab.

Naib presiden Penghantar, Abdul Hakim Abdul Rani berkata perbincangan dengan Grab berjalan lancar.

Selain menuntut kenaikan tambang asas untuk penghantaran, Hakim berkata mereka juga mahu Grab mengekalkan kadar bonus.

“Kami menerima aduan daripada rakan-rakan penghantar Grab bahawa sebahagian mereka tidak menerima bonus,” katanya yang menambah mereka akan menunggu jawapan Grab terhadap tuntutan itu.

Hakim berkata satu lagi protes membabitkan lebih ramai penghantar Grab akan diadakan pada minggu depan sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Turut hadir dalam protes itu adalah Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga Ahli Parlimen Machang.

Sementara itu, Grab dalam satu kenyataan berkata syarikat itu maklum mengenai kebimbangan yang disuarakan rakan penghantar tersebut dan secara aktif berhubung dengan mereka untuk menangani isu itu.

Katanya, objektif syarikat adalah menyediakan peluang pendapatan yang mampan dan adil serta pada masa yang sama melabur dalam promosi dan insentif untuk menyokong rakan penghantar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.