Tarif air naik: Langkah perlu yang kerajaan PN pun sokong, Santiago jawab Gerakan

Tarif air naik: Langkah perlu yang kerajaan PN pun sokong, Santiago jawab Gerakan

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pertahan pelarasan kadar tarif air terkini antara lain untuk mengurangkan NRW, penggantian paip, dan naik taraf loji.

Semua pemerintah negeri beri jaminan akan sokong pelarasan kadar tarif air terkini, menurut Pengerusi SPAN, Charles Santiago.
PETALING JAYA:
Pelarasan kadar tarif air terkini tidak sewajarnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak kerana ia perlu untuk membaik pulih dan menambah baik kemudahan air di Malaysia Barat dan Labuan, menurut pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Mengulas gesaan Gerakan yang mahu SPAN menarik balik langkah tersebut, Charles Santiago mempertahankan pelarasan tersebut sebagai langkah yang amat penting dan bermanfaat, antaranya untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil, menggantikan paip lama, dan menaik taraf loji rawatan air.

Tegasnya, semua pemerintah negeri termasuk Perikatan Nasional – gabungan politik yang disertai Gerakan – menyedari keperluan langkah ini.

“Dalam mesyuarat air negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mereka beri jaminan mereka akan menyokong,” katanya kepada FMT.

Pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Malaysia Barat dan Labuan akan berkuat kuasa 1 Feb ini, melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Menurut SPAN dalam kenyataan semalam, pelarasan itu berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun Gerakan berkata ia kecewa dengan SPAN yang patut utamakan naik taraf dan menyelenggara paip “secara komprehensif di seluruh negara terlebih dahulu”.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago.

Santiago menjelaskan menggantikan paip lama dengan paip baharu dan mengurangkan NRW sememangnya sebahagian strategi di sebalik pelarasan kadar tarif air ini.

“Strategi keseluruhan adalah dapatkan dana yang cukup supaya operator ada wang untuk kurangkan NRW, kedua naik taraf loji rawatan air, dan membayar hutang khususnya kepada Tenaga Nasional Berhad,” katanya.

Santiago menambah ia turut mengambil kira masalah berkait perubahan iklim, yang dikhuatiri akan menjejaskan bekalan air masa depan.

“Ada negara tempoh sebulan dua tidak ada hujan. Ini akan beri kesan kepada isi rumah dan kilang jika tiada air cukup,” katanya.

“Kita harus melabur dalam teknologi baharu untuk masa depan. Walaupun kenaikan tarif ada kesan kepada poket kita tapi ini pelaburan untuk masa depan.”

Santiago, yang juga bekas Ahli Parlimen Klang, meminta Gerakan mengubah pandangan mereka berhubung pelarasan ini.

“Saya ucapkan terima kasih tapi kena faham salah satu rancangan kami dan operator adalah mengurangkan NRW,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.