
Perdana menteri berkata, proses pelantikan itu memakan sedikit masa kerana terdapat proses perlu dihormati.
“(CEO KWSP yang baharu) akan diputuskan segera, kerana ada proses yang harus dihormati, ada calon daripada pasukan yang ada kepakaran masing-masing.
“Ada dikemukakan dan kita akan umumkan, seperti biasa dalam semua pelantikan kita lalui tapisan SPRM, LHDN, Bank Negara dan PDRM. Itu ambil masa beberapa minggu,” katanya dalam sidang media selepas pemukiman Jemaah Menteri.
Amir Hamzah Azizan yang menjawat jawatan itu sebelum ini dilantik sebagai menteri kewangan II susulan rombakan Jemaah Menteri bulan lalu.
Beliau menyertai KWSP sebagai CEO pada Mac 2021 dan mengangkat sumpah senator sebelum menyertai anggota Jemaah Menteri.
Dalam sidang media sama Anwar turut memaklumkan, buat kali pertama projek yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 perlu dilaksanakan secepat mungkin tanpa menunggu habis tempoh suku pertama tahun tersebut.
Susulan itu, menteri kewangan berkata bagi 2024 dana untuk projek sudah diserahkan kepada kementerian terlibat.
“Bagi 2024 kita mahu projek dilaksanakan cepat, tanpa perlu menunggu tempoh suku pertama, buat pertama kalinya, dana sudah pun diserahkan kepada pelbagai kementerian terlibat seawal Januari,” katanya.