Pukul isteri sampai koma, peniaga diarah bela diri

Pukul isteri sampai koma, peniaga diarah bela diri

Mangsa yang hamil ketika kejadian, koma kerana cedera parah namun selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada 30 Nov 2021.

Rosmaini Abd Raof diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk membela diri atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya 3 tahun lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Johor Bahru memerintahkan seorang peniaga membela diri atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya tiga tahun lalu.

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rosmaini Abd Raof, 41.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 24 Jan ini untuk menentukan tarikh perbicaraan, lapor Bernama.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini didakwa memukul kepala, muka, tangan dan menghentakkan kaki pada belakang tangan Jahidah Nordin@Sylvester, 46, yang ketika itu masih isteri ketiganya, sehingga parah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin di sini pada 4 Mei 2021 mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama,

Jika sabit kesalahan, Seksyen 325 memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, manakala menurut Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Kes ini mendapat perhatian masyarakat kerana mangsa, seorang penjawat awam, hamil ketika kejadian. Disebabkan kecederaan parah dialaminya, beliau koma namun selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada 30 Nov 2021.

Pada 15 Mac tahun lepas, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Feb 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.